ZIARAH KASIH: UPM SANTUNI PELAJAR ORANG ASLI DARI TAPAH DAN KUALA KANGSAR | Bahagian Hal Ehwal Pelajar hep
» BERITA » ZIARAH KASIH: UPM SANTUNI PELAJAR ORANG ASLI DARI TAPAH DAN KUALA KANGSAR

ZIARAH KASIH: UPM SANTUNI PELAJAR ORANG ASLI DARI TAPAH DAN KUALA KANGSAR

Oleh: Muhammad Ayob Ibrahim

Perak, 24 September 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan pelajarnya melalui pelaksanaan Program Ziarah Kasih, sempena kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2025/2026. Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) ini memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk komuniti Orang Asli yang sering berdepan cabaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Dalam siri kedua program tersebut, pihak UPM telah menyantuni dua pelajar dari negeri Perak yang berjaya menempatkan diri sebagai mahasiswa baharu. Mereka ialah Layla Salikin Shali, pelajar Orang Asli dari Tapah, dan Sangeeta A/P Chandran dari Kuala Kangsar. Kedua-duanya terpilih mengikuti pengajian di Program Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Layla, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik, melahirkan rasa syukur serta teruja kerana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti idamannya. Momen bersejarah itu lebih bermakna apabila beliau menerima panggilan video ucapan tahniah dan kata-kata semangat daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut memberi dorongan agar beliau terus berusaha mencapai kejayaan.

Sebagai tanda keprihatinan, Yayasan Perkasa Siswa bersama pihak BHEP UPM turut menyampaikan sumbangan bantuan awal pengajian. Bantuan ini diharap dapat meringankan persediaan awal Layla untuk memulakan kehidupan kampus. Program Ziarah Kasih ini mencerminkan usaha UPM dalam memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, mendapat sokongan sewajarnya untuk berjaya di menara gading.

Tarikh Input: 26/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (04:14:21pm-04:19:21pm, 20 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]