Oleh: Ubaidullah Badri
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026 yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia hari ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan UPM muncul sebagai juara selepas berjaya mengatasi 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyertai pertandingan debat berprestij berkenaan.
Pencapaian ini membuktikan keupayaan mahasiswa UPM dalam menguasai kemahiran berhujah, pemikiran kritis, komunikasi berkesan serta menyampaikan pandangan secara berstruktur dan berasaskan fakta.
Lebih membanggakan, hadiah utama bagi pertandingan tersebut turut menyaksikan peningkatan daripada RM5,000.00 kepada RM8,000.00, sekali gus menambah nilai penghargaan terhadap kejayaan yang diraih oleh pasukan UPM.
Kejayaan ini merupakan hasil daripada komitmen, kesungguhan dan persediaan rapi pasukan debat UPM, selain sokongan berterusan daripada pihak universiti serta doa dan dorongan seluruh warga UPM.
Pencapaian tersebut turut mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik, khususnya melalui penglibatan dalam aktiviti yang membentuk kemahiran insaniah, kepimpinan, daya pemikiran kritis dan keyakinan diri.
UPM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pasukan debat UPM atas kejayaan tersebut serta kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan menyumbang kepada pencapaian yang membanggakan ini.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pasukan UPM untuk terus mencipta kecemerlangan dan mengharumkan nama universiti di pentas pertandingan debat pada masa akan datang.
Tahniah dan syabas, pasukan debat UPM!
Tarikh Input: 28/08/2026 | Kemaskini: 28/08/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan