UPM PUPUK SEMANGAT KEBERSAMAAN MENERUSI PROGRAM SEDEKAH JUMAAT | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » UPM PUPUK SEMANGAT KEBERSAMAAN MENERUSI PROGRAM SEDEKAH JUMAAT

UPM PUPUK SEMANGAT KEBERSAMAAN MENERUSI PROGRAM SEDEKAH JUMAAT

Oleh: Marwan Abdul Razak

SERDANG, 26 September 2025 – Program Sedekah Jumaat anjuran Jawatankuasa Surau Canselori Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus menerima sambutan positif daripada warga kampus sekali gus menyemarakkan budaya perkongsian, kesyukuran dan kebersamaan.

Sejak diperkenalkan pada Januari 2024 hasil ilham Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, program ini dilaksanakan secara konsisten dengan penglibatan lapan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang beroperasi di Bangunan Canselori. Pelaksanaannya diatur secara bergilir bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian program pada setiap minggu.

Bagi bulan September, tanggungjawab pelaksanaan diambil oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Program ini menyediakan sarapan percuma kepada staf serta pelanggan yang berurusan di Bangunan Canselori Putra.

Setiap pagi Jumaat, seawal jam 7.45 pagi, pelbagai juadah disediakan dalam bentuk pek makanan yang mudah dibawa pulang. Antara hidangan yang ditawarkan termasuk nasi lemak, mi goreng, kuih-muih tradisional serta sandwic. Kehadiran juadah ini bukan sahaja menceriakan permulaan hari warga kampus, malah turut menjadi ruang pertemuan santai yang merapatkan hubungan antara staf pelbagai peringkat.

Pihak penganjur turut mengalu-alukan sokongan daripada warga kampus dan pihak luar yang berminat untuk menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan mahupun penyediaan juadah. Sumbangan boleh disalurkan melalui tabung khas yang disediakan di lobi utama Bangunan Canselori atau dengan menghubungi terus Jawatankuasa Surau Canselori Putra.

Inisiatif ini diharap dapat diteruskan sebagai salah satu usaha membudayakan amalan bersedekah, di samping mengukuhkan ukhuwah serta rasa kekitaan dalam komuniti universiti.

     
     
     

Tarikh Input: 28/09/2025 | Kemaskini: 28/09/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
W, (02:50:40pm-02:55:40pm, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]