UPM & KPT PRIHATIN, MEMBANTU MENYANTUNI BERSAMA MEMBANGUN HARAPAN | Bahagian Hal Ehwal Pelajar hep
» BERITA » UPM & KPT PRIHATIN, MEMBANTU MENYANTUNI BERSAMA MEMBANGUN HARAPAN

UPM & KPT PRIHATIN, MEMBANTU MENYANTUNI BERSAMA MEMBANGUN HARAPAN

Oleh: Ayob Ibrahim 

Negeri Sembilan, 25 Julai 2026 - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Yayasan Perkasa Siswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) telah menganjurkan Program Ziarah Kasih KPT-UPM di Pertang, Negeri Sembilan sebagai usaha menyantuni keluarga pelajar yang memerlukan. Program yang berlangsung itu bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti, keluarga pelajar dan masyarakat melalui pendekatan kebajikan yang berteraskan nilai kasih sayang, keprihatinan serta tanggungjawab sosial. Delegasi program telah menziarahi dua buah keluarga pelajar iaitu Nurul Hanis Hamizah binti Mohamad Saminin di Jalan Serindit, Pasoh 2 dan Nur Syafiqah Adila di Felda Pasoh 3. Sepanjang sesi ziarah, rombongan berpeluang beramah mesra, mendengar sendiri perkongsian serta cabaran yang dihadapi oleh keluarga pelajar sebelum menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas sebagai tanda sokongan dan keprihatinan. Program ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Sri Jailani Johari, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, serta YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian tanpa mengira latar belakang. Selain penyampaian sumbangan, program turut diisi dengan sesi santunan, perbincangan bersama keluarga, lawatan ke kediaman serta aktiviti kebersamaan yang mengeratkan ukhuwah antara warga UPM dan komuniti setempat. Inisiatif ini membuktikan bahawa kebajikan pelajar bukan sekadar tertumpu kepada aspek akademik, malah merangkumi kesejahteraan keluarga sebagai elemen penting dalam menyokong kejayaan mereka di universiti. Program Ziarah Kasih KPT-UPM dan KPT-UPM Prihatin diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh semangat kebersamaan, menyemai budaya prihatin serta memperkasakan nilai kemanusiaan.

Tarikh Input: 31/07/2026 | Kemaskini: 31/07/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (02:57:35am-03:02:35am, 29 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]