PUTRA ECO DAY PERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI BINTULU | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » PUTRA ECO DAY PERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI BINTULU

PUTRA ECO DAY PERKASA PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI BINTULU

Oleh: Ubaidullah Mohamad Badri

Bintulu, 1 Mac 2026 – Program Putra Eco Day anjuran Persatuan Kebajikan Anak Sarawak UPM (PERKASA Sarawak) berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Bintulu, sebagai langkah memperkukuh pendidikan alam sekitar dan pertanian lestari dalam kalangan pelajar. Program ini merupakan susulan kejayaan pasukan penganjur mara ke peringkat akhir pertandingan Crocs Tank sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025, sekaligus memenangi dana keseluruhan sebanyak RM14,000 untuk merealisasikan projek berimpak komuniti tersebut.

Putra Eco Day menekankan pembudayaan amalan hijau melalui projek penanaman hidroponik melibatkan 200 pot tanaman dan 20 kit mini tambahan. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar mempelajari teknik pertanian moden, sambil digalakkan berfikir secara kreatif untuk menjadikan alam sekitar sumber manfaat. Program ini juga menekankan pembelajaran interaktif melalui pembentangan kumpulan, di mana idea hijau pelajar diuji, diimplementasi, dan berpotensi menjana pendapatan daripada hasil tuaian dan projek lestari pada masa hadapan.

Program ini sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13: Tindakan Iklim), yang menekankan kepentingan tindakan iklim dan kelestarian. Pelaksanaan Putra Eco Day mencerminkan komitmen berterusan anak Sarawak dalam memperkasa agenda pembangunan lestari, membentuk generasi muda yang berdaya saing, berwawasan, dan cakna terhadap kepentingan alam sekitar. Program ini turut menjadi model pendidikan hijau pertama di Bintulu, sekali gus membuka ruang bagi pelajar memanfaatkan pengetahuan mereka dalam projek komuniti dan ekonomi hijau.

Dengan kejayaan ini, PERKASA Sarawak bukan sahaja memperkukuh kesedaran pelajar terhadap isu alam sekitar, malah membuktikan bahawa projek pendidikan hijau mampu memberi impak positif kepada komuniti serta menyokong pembangunan mampan di peringkat lokal dan nasional.

Tarikh Input: 31/03/2026 | Kemaskini: 06/04/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (07:35:03pm-07:40:03pm, 05 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]