
Oleh : Ayob Ibrahim
UPM Serdang, 19 Mac 2025 – Seramai 200 pelajar program Asasi dan Bacelor telah menerima sumbangan juadah berbuka puasa serta sampel produk makanan kering dalam satu program di sini bertempat di Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Universiti Putra Malaysia.
Program ini anjuran Jenama Cap Kunci dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) merupakan program khidmat masyarakat yang bertujuan untuk mengedarkan juadah berbuka puasa serta sampel produk dari syarikat Cap Kunci kepada pelajar universiti yang mungkin menghadapi kesukaran untuk membeli makanan bagi berbuka puasa.
Seorang penerima, Muhammad Aiman, 19, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima. "Sumbangan ini amat bermakna bagi kami yang masih berada di kampus".
Menurut wakil penganjur, program ini diadakan setiap tahun sebagai inisiatif untuk memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga. "Kami berharap sumbangan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka yang berjauhan daripada keluarga," katanya.
Juadah berbuka yang diberikan adalah nasi ayam penyet dan minuman khas produk Cap Kunci sempena bulan puasa, iaitu air soya, manakala makanan kering yang merupakan produk terbaru jenama Cap Kunci iaitu mi kering dengan pelbagai perisa menarik seperti tomyam, sizzling, udang dan sebagainya.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar amat mengalu-alukan pelbagai bentuk sumbangan dan program khidmat masyarakat untuk disumbangkan kepada pelajar kami. Untuk tujuan sumbangan boleh hubungi Unit Kebajikan Pelajar, UPM di talian 03-97696 6067 atau melalui email bhep.kebajikan@upm.edu.my
Tarikh Input: 29/03/2025 | Kemaskini: 28/05/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan