
PROGRAM KECEMERLANGAN SISWA SULUNG SIRI 1 BERIKAN INSPIRASI UNTUK KEJAYAAN PELAJAR
Oleh: Nurul Farhan Zainorkamarul Basahidin
Serdang, 24 Januari 2025 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan Program Kecemerlangan Siswa SULUNG Siri 1 di Dewan Putra 1, Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), dengan penglibatan seramai 165 pelajar. Program ini melibatkan pelajar SULUNG 1.0 dan SULUNG 2.0, bertujuan membangunkan potensi pelajar secara holistik agar mereka dapat mencapai kecemerlangan dalam pengajian dan kehidupan.
Program ini julung kali diadakan menampilkan penceramah jemputan tersohor, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman, yang merupakan alumni UPM, beliau berkongsi pengalaman hidup dan memberikan motivasi kepada pelajar. Ceramah tersebut memberi penekanan kepada kepentingan membina keyakinan diri, pengurusan masa yang efektif, dan pemikiran positif untuk berdepan cabaran akademik.
Program ini dirancang khusus bagi memberi suntikan semangat kepada pelajar, lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan akhir semester yang akan bermula pada 3 Februari 2025. BHEP mahu memastikan pelajar tidak hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai jati diri yang kuat, nilai integriti, dan kemahiran kepimpinan. Mereka perlu bersedia menyumbang kepada universiti, keluarga, masyarakat, dan negara.
Dengan penganjuran program ini, BHEP berharap dapat meneruskan usaha memperkasakan pembangunan pelajar secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat. Program ini juga dijadikan platform untuk membantu pelajar mempersiapkan diri secara mental dan emosi dalam mendepani cabaran kehidupan kampus.
Tarikh Input: 27/01/2025 | Kemaskini: 27/01/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan