PROGRAM IFTAR MEGA PUTRA 3.0 | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » PROGRAM IFTAR MEGA PUTRA 3.0

PROGRAM IFTAR MEGA PUTRA 3.0

 
PROGRAM IFTAR MEGA PUTRA 3.0
 
Serdang, 13 April 2023 - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program Iftar Mega Putra 3.0 bersempena pelancaran Menu Siswa Rahmah yang bertempat di Dataran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
 
Program ini telah mendapat sambutan anggaran lebih daripada 2000 mahasiswa yang terlibat secara langsung memenuhi perkarangan dataran. Program ini dianjurkan oleh Entiti HEPA UPM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Pelajar Antarabangsa UPM (UPMISA), Sahabat Masjid UPM dan Kolej kediaman UPM dan lain-lain lagi.
 
  
 
Sebanyak 10 gerai dibuka untuk agihan makanan iaitu 1500 bungkus makanan sumbangan daripada kedutaan Arab Saudi di Malaysia, foodtruck tajaan alumni-alumni UPM dan sumbangan selebihnya lagi daripada beberapa pihak lain yang terlibat. Kesemua makanan di setiap gerai telah diberikan secara percuma kepada mahasiswa yang hadir.
 
Iftar Mega Putra 3.0 bertujuan merapatkan ukhwah, mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga UPM, rakan strategik serta kumpulan sasar UPM. Tambahan itu, dapat mengukuhkan lagi jalinan kebersamaan dengan agama lain bagi merasai suasana Ramadhan dalam program iftar ini. Kegembiraan turut dapat dikongsi bersama dengan agihan duit raya kepada pelajar OKU UPM.
 
YH Prof. Dato' Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM dalam ucapan beliau berkata kerjasama program ini dengan pelbagai entiti dan kesatuan pelajar menunjukkan semangat mewujudkan dan mengutuhkan kekeluargaan sebenarnya yang telah dijajarkan dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 di bawah Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang iaitu bertepatan dengan Objektif Strategik 1 Memperkukuh Jati Diri, Perpaduan dan Semangat Patriotisme Selari dengan Aspirasi Nasional.
 
  
 
Sambung beliau lagi, semangat kekeluargaan yang kukuh ini perlulah dinamik dan perlu sentiasa menanam semangat saling bertanggungjawab, saling melindungi dan semestinya saling menyayangi bagi mengangkat tema ‘Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu’. Harapan agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Hal ini melihat kepada kemeriahan dan sambutan mahasiswa kepada program ini sangat memberangsangkan.
 
Turut hadir ke program ini ialah Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Wakil Pejabat Kedutaan Asing di Malaysia, Pegawai Kanan Universiti, Barisan Pemimpin Pelajar serta seluruh warga kampus UPM.
 

Tarikh Input: 19/04/2023 | Kemaskini: 19/04/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdBAO~