Oleh: Nurul Farhan
Serdang, 26 Januari 2026 - Pusat Asasi Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Future Journey 2026 bertempat di Kompleks Akademik E, UPM dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif berterusan UPM dalam mempromosikan program pengajian peringkat ijazah yang ditawarkan kepada para pelajar Asasi Sains (ASPer), selaras dengan usaha memperkukuh perancangan laluan akademik pelajar sejak peringkat awal pengajian.
Program ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar ASPer mengenai pelbagai pilihan program ijazah yang ditawarkan oleh UPM, merangkumi struktur kurikulum, bidang pengkhususan serta peluang kerjaya selepas tamat pengajian. Selain itu, program ini turut membantu pelajar memahami keperluan akademik, kemahiran insaniah dan persediaan awal yang diperlukan bagi melayakkan diri ke peringkat ijazah.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar terlibat dalam sesi taklimat, perkongsian pengalaman serta sesi interaksi bersama wakil fakulti dan pegawai akademik UPM. Pendedahan secara langsung ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta menjelaskan kekeliruan berkaitan laluan pengajian masing-masing.
Penganjuran Program Future Journey 2026 diharap dapat meningkatkan kesedaran, motivasi dan keyakinan pelajar dalam membuat keputusan akademik yang lebih terancang dan berfokus. Melalui inisiatif ini, UPM terus komited dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan pembangunan negara.
Tarikh Input: 28/01/2026 | Kemaskini: 28/01/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan