PENGURUSAN ISLAMI: MENGHAYATI PRINSIP DAN NILAI QURANI | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » PENGURUSAN ISLAMI: MENGHAYATI PRINSIP DAN NILAI QURANI

PENGURUSAN ISLAMI: MENGHAYATI PRINSIP DAN NILAI QURANI

 

Oleh: Marlinah Muslim

Selangor, 26 Februari 2026– Penerapan nilai dan prinsip Islam dalam tugasan harian serta sentiasa mengingati Allah SWT dalam setiap tindakan, termasuk dalam urusan profesional, wajar diamalkan oleh setiap Muslim. Perkara ini dihuraikan dalam buku Prinsip Islami: Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani dan disampaikan oleh Encik Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin.

Buku tersebut turut menjelaskan pendekatan kepimpinan tokoh Islam terdahulu yang mengintegrasikan nilai dan prinsip Islam dalam pelaksanaan tugas seharian. Antara prinsip yang ditekankan ialah pemberian amanah kepada individu yang berkelayakan serta pelaksanaan tanggungjawab dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab.

Menurut Encik Nik Mohamad Ridhwan, sesi perkongsian ini bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap pengurusan beretika yang berlandaskan ajaran Islam. Beliau menegaskan bahawa penghayatan nilai-nilai Qurani bukan sahaja signifikan dalam pentadbiran organisasi, malah berperanan dalam membentuk kepimpinan yang berkesan, berintegriti dan mampu menjadi inspirasi kepada warga kerja.

Program ini diadakan bersempena bulan Ramadan sebagai salah satu inisiatif Read@Uni, bertujuan menyediakan panduan praktikal kepada pegawai dalam menguruskan tanggungjawab harian secara profesional dan berteraskan nilai Islam. Sesi tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan, mengemukakan soalan serta membincangkan cabaran pengurusan moden dengan berpandukan prinsip-prinsip Qurani.

Program berkenaan mendapat sokongan Encik Wan Zaharuddin Wan Abdullah, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), yang turut hadir sebagai tanda galakan kepada staf untuk terus memupuk budaya membaca dalam kalangan warga universiti.

Aktiviti perkongsian ilmu seperti ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu pengurusan organisasi serta memberi impak positif terhadap persekitaran kerja dan komuniti universiti secara keseluruhan. Program seumpama ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan.

 
 
 

Tarikh Input: 28/02/2026 | Kemaskini: 02/03/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
W, (05:36:19pm-05:41:19pm, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]