PELAJAR UPM SERTAI BENGKEL MENORA UMK-MAKUM DI UMK BACHOK | Bahagian Hal Ehwal Pelajar hep
» BERITA » PELAJAR UPM SERTAI BENGKEL MENORA UMK-MAKUM DI UMK BACHOK

PELAJAR UPM SERTAI BENGKEL MENORA UMK-MAKUM DI UMK BACHOK

   

Oleh: Nureedayu Zapuri 

BACHOK, 9 Mei 2026 – Seramai tiga (3) orang pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghadiri Bengkel Menora UMK-MAKUM (Tarian Kham Prak) yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 8 hingga 9 Mei 2026 di UMK Kampus Bachok.

Program tersebut dianjurkan sebagai platform untuk memperkenalkan serta memperkukuh pemahaman berkaitan seni persembahan tradisional Menora, khususnya Tarian Kham Prak yang merupakan antara warisan budaya masyarakat Pantai Timur. Bengkel itu turut menghimpunkan peserta daripada beberapa institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan sejarah Menora, asas pergerakan tarian, teknik persembahan serta elemen muzik tradisional yang digunakan dalam persembahan tersebut. Selain sesi teori, peserta juga menjalani latihan praktikal secara berkumpulan bersama tenaga pengajar dan penggiat seni budaya berpengalaman.

Penyertaan UPM dalam program ini bertujuan memperluas pengetahuan pelajar terhadap seni warisan tradisional di samping memupuk minat generasi muda dalam usaha memelihara kebudayaan tempatan agar terus relevan dan dihargai. Program seperti ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, disiplin serta kerjasama berpasukan menerusi aktiviti seni dan kebudayaan.

Selain itu, bengkel berkenaan turut menjadi medium jaringan antara pelajar universiti dari pelbagai negeri melalui perkongsian pengalaman dan penglibatan dalam aktiviti kebudayaan. Diharapkan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar UPM serta menjadi pemangkin kepada penglibatan yang lebih aktif dalam program seni budaya pada masa akan datang.

Tarikh Input: 18/05/2026 | Kemaskini: 18/05/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (04:29:20am-04:34:20am, 30 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]