
Oleh: Nurul Farhan
KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2025 – Seramai 10 pelajar Program SULUNG Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berpeluang menyertai PNB Knowledge Forum (PKF) 2025) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung dengan penuh berprestij di Hilton Kuala Lumpur. Forum yang bertemakan “Organisational and Personal Transformation: The Power of Transformation” ini menghimpunkan tokoh pemikir, pemimpin industri, personaliti ternama dan pakar korporat untuk berkongsi ilmu serta pengalaman berkaitan kepentingan transformasi dalam individu dan organisasi. Program ini turut menjadi tumpuan apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dijangka hadir sebagai Tetamu Kehormat, sekali gus memperlihatkan kepentingan forum ini di peringkat nasional.
Forum ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform ilmu, tetapi turut berperanan membina keyakinan pelajar untuk meneroka potensi diri, memahami realiti dunia profesional dan memperkukuh kemahiran insaniah. Mereka berpeluang mendengar secara terus pengalaman tokoh korporat berpengaruh yang berkongsi strategi kejayaan, nilai kerja, kepimpinan berwawasan serta keupayaan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan. Pendedahan sebegini amat signifikan khususnya kepada pelajar SULUNG yang merupakan kelompok pelajar generasi baharu daripada latar belakang keluarga pertama menjejakkan kaki ke universiti.
Selain pengisian ilmu yang kaya, PNB turut memberikan insentif istimewa RM50 unit amanah PNB secara percuma di bawah inisiatif Celik MADANI kepada pelajar yang masih belum pernah menerima manfaat tersebut. Inisiatif ini secara tidak langsung mendidik pelajar mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan pelaburan yang berhemah sejak di bangku pengajian lagi. Bagi menyokong penyertaan pelajar, pihak universiti memberikan pengecualian kuliah, manakala kemudahan merit dan pengangkutan turut disediakan bagi memastikan penglibatan mereka berjalan lancar dan teratur.
Kehadiran 10 pelajar SULUNG UPM ke forum berimpak tinggi ini bukan sekadar penyertaan biasa, sebaliknya melambangkan usaha berterusan universiti dan pihak berkepentingan negara dalam memperkasa modal insan berkualiti tinggi. Dengan pengetahuan, rangkaian hubungan profesional yang baharu serta inspirasi yang dibawa pulang daripada program ini, para pelajar diharapkan mampu menerapkan nilai transformasi dalam kehidupan, pengajian dan perjalanan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, PNB Knowledge Forum 2025 bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian ilmu, tetapi turut mencetuskan kesedaran bahawa transformasi adalah kunci utama untuk membina negara yang lebih maju, organisasi yang lebih berdaya tahan dan individu yang lebih berkeyakinan. Penyertaan pelajar SULUNG UPM dalam program ini sekali lagi membuktikan bahawa generasi muda mempunyai potensi besar untuk memimpin perubahan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Tarikh Input: 31/12/2025 | Kemaskini: 31/12/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan