Kuala Lumpur, 22 Jun 2025 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Semakan Semula Peraturan dan Garis Panduan yang Berkaitan sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh aspek kebajikan dan keselamatan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti.
Bengkel ini melibatkan kerjasama strategik pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) utama termasuk Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU), Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset (PPPA), Pejabat Pengurusan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Pejabat Bursar, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), serta Badan Kepimpinan Pelajar UPM yang merangkumi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK).
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menilai semula peraturan, garis panduan dan tatakelola sedia ada dalam pelbagai aspek kehidupan kampus. Antara objektif utamanya adalah untuk mengenal pasti kelemahan, mencadangkan penambahbaikan, serta merangka semula dasar-dasar yang lebih relevan dengan keperluan semasa pelajar.
Bengkel ini membincangkan, memperhalusi serta membangunkan garis panduan seperti Perintah (Universiti Putra Malaysia)(Kolej Kediaman) 2025 dan Pembangunan Garis Panduan Pelaksanaan Hukuman Khidmat Masyarakat, Pembangunan Kaedah-kaedah Universiti Putra Malaysia (Lalu Lintas Jalan) 2025, Semakan Semula Proses Rayuan Penempatan Kolej Kediaman, Tatakelola Pemantauan Kafeteria Yang Di Bawah Kelolaan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Pembangunan Dapur Siswa serta Pembangunan Garis Panduan Tabung Perlindungan Pelajar.
Melalui bengkel ini, BHEP UPM terus komited dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan, sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.


Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 26/06/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan