![]() |
![]() |
Oleh: Nik Mohamad Ridhwan Nik nasrudin
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pasukan dikir barat kebanggaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Kelab Dikir Barat Kijang Mas, menunjukkan taring mereka di persada seni budaya tanah air apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Dikir Barat Mega sempena Festival Titih Pusaka 2026 anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Pertandingan akhir yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Padang Merbok, Kuala Lumpur dan menyaksikan persaingan sengit antara gergasi dikir barat institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Kijang Mas UPM yang tampil di hadapan ratusan penonton dengan nyanyian lagu serta awak-awak yang bertenaga. Mempersembahkan lagu taruhan bertemakan "Warisan Madani", pasukan ini berjaya memikat hati juri profesional, sekali gus menempatkan UPM di podium kemenangan.
Dalam pada itu, gelaran juara pertandingan kali ini menjadi milik pasukan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Manakala tempat Naib Johan disandang oleh UiTM Shah Alam. Ketua kumpulan Kijang Mas UPM menyifatkan kemenangan tempat ketiga ini sebagai satu pencapaian membanggakan, memandangkan standard pertandingan di Festival Titih Pusaka tahun ini dianggap antara yang tertinggi pernah dianjurkan.
"Kami bersyukur kerana usaha keras latihan siang dan malam akhirnya membuahkan hasil. Bersaing dengan universiti seperti UMK dan UiTM, namun Kijang Mas berjaya buktikan bahawa pelajar UPM mampu mengangkat seni warisan ini ke tahap yang tinggi," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Festival Titih Pusaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari bertujuan menyemarakkan kembali seni tradisi dalam kalangan anak muda, selari dengan usaha memartabatkan budaya warisan negara agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin semangat buat Kijang Mas UPM untuk terus melangkah lebih jauh dalam siri jelajah pertandingan dikir barat pada masa akan datang.
Tarikh Input: 28/01/2026 | Kemaskini: 28/01/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan