Oleh: Ubaidullah Mohamad Badri
SERDANG, 22 September 2025 – Kem Pemantapan Organisasi Mega 2025 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung dengan jayanya pada 18 hingga 22 September 2025 bertempat di Dewan Putra 2, Kolej Dua Belas, UPM.
Program selama lima hari ini menghimpunkan kepimpinan mahasiswa universiti yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Perwakilan Fakulti (MPF), Majlis Perwakilan Kolej (MPK), serta Persatuan dan Kelab berdaftar di bawah UPM. Penganjuran kem ini bertujuan memperkukuh jati diri mahasiswa, meningkatkan kemahiran kepimpinan, serta memantapkan kerjasama berpasukan dalam mengurus organisasi masing-masing.
Sepanjang program, para peserta terlibat dengan pelbagai pengisian bermanfaat merangkumi latihan dalam kumpulan, bengkel pengurusan organisasi, sesi motivasi bersama penceramah jemputan, serta aktiviti luar yang berteraskan disiplin, integriti, dan semangat kerjasama. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengasah kebolehan peserta dalam aspek perancangan dan pengurusan, malah turut membuka ruang jaringan ukhuwah antara pemimpin pelajar pelbagai peringkat.
Menurut pihak penganjur, pendedahan yang diperoleh menerusi program ini diyakini mampu menjadi bekalan berguna kepada para peserta dalam melaksanakan amanah kepimpinan di peringkat fakulti, kolej dan universiti, sekali gus membentuk budaya organisasi pelajar yang lebih cemerlang, dinamik dan berdaya saing.
Kem Pemantapan Organisasi Mega 2025 diharap dapat diteruskan sebagai platform pembangunan sahsiah, kepimpinan dan profesionalisme mahasiswa, selaras dengan hasrat UPM untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi dari segi akademik dan kepimpinan.
|
|
|
![]() |
|
![]() |
![]() |
Tarikh Input: 01/10/2025 | Kemaskini: 01/10/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan