Penulis: Marlinah Muslim
29 Julai 2025, Kulim - Satu program kem kepimpinan khas untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penglibatan Kesatuan Mahasiswa UPM telah diadakan pada 29 hingga 31 Julai 2025 di Hotel Seri Malaysia Kulim, Kedah. Program ini telah disertai oleh 25 peserta dan dipimpin oleh empat (4) orang fasilitor dan penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing.
Dr Katijjahbe binti Md Ali, Pegawai Pemulihan Perubahan Kanan (Fisioterapi) Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Dr Wan Ikhlas Wan Mohtar, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi serta Puan Sharon Ong, pengajar bahasa insyarat hadir bersama sebagai fasilitator dan penceramah bagi kem berkenaan.
Program dirasmikan oleh YBrs. Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang juga turut berperanan sebagai ketua fasilitator dan merasmikan program berkenaan.
Encik Abdullah Arshad, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) turut hadir bersama-sama peserta mewakili Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan selaku penasihat kem.
Pengisian kem disesuaikan dengan keperluan setiap peserta, memberi penekanan kepada elemen-elemen yang membawa impak positif dalam kehidupan harian mereka.
Bahagian Hal Ehwal Pelajar(BHEP) berharap agar kem ini dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif dan program yang memperkasa OKU pada masa akan datang. Melalui kem ini, diharap OKU dapat diberi lebih banyak ruang untuk membina kemahiran, meningkatkan keyakinan diri, dan seterusnya diiktiraf sebagai pemimpin masa depan yang menyumbang kepada pembangunan negara



Tarikh Input: 31/07/2025 | Kemaskini: 01/08/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan