Oleh: Khairul Ziana Kinainah
Serdang, 19 April 2025 – Program Jiwa Putra Astaka Seni UPM anjuran Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya & Warisan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat melalui aktiviti gotong-royong yang melibatkan kerja-kerja mengecat dan membersihkan kawasan Astaka Seni.
Program ini merupakan inisiatif yang memfokuskan kepada pembentukan jati diri, nilai kesukarelawanan, serta semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa UPM. Lebih 50 orang pelajar daripada pelbagai kelab/persatuan telah turun padang menyingsing lengan dalam menceriakan semula kawasan Astaka Seni UPM yang menjadi simbol ekspresi seni dan budaya kampus.
Aktiviti utama termasuk mengecat bilik kebudayaan dan perabot lama, membersihkan persekitaran serta mencantikkan suasana. Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya & Warisan, pegawai dan staf seksyen yang sama-sama berganding bahu menjayakan program.
“Kami bukan sahaja membersihkan kawasan, tetapi juga membina semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan pelajar,” kata salah seorang peserta, Wan Farhan Wan Mohamad dari Kelab Dikir Barat Kijang Mas.
Program ini turut menyuntik kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan kawasan kampus yang menjadi ruang bersama.
Dengan slogan “BERILMU BERBAKTI”, Jiwa Putra Astaka Seni UPM telah membuktikan bahawa kerja-kerja komuniti seperti gotong-royong bukan sahaja memperindah persekitaran fizikal, malah memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap mahasiswa.
Tarikh Input: 28/04/2025 | Kemaskini: 28/05/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan