IFUTURE@UPM 2025: MEMBENTUK PEMIMPIN BELIA YANG BERANI MEMIMPIN DUNIA DIGITAL | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » IFUTURE@UPM 2025: MEMBENTUK PEMIMPIN BELIA YANG BERANI MEMIMPIN DUNIA DIGITAL

IFUTURE@UPM 2025: MEMBENTUK PEMIMPIN BELIA YANG BERANI MEMIMPIN DUNIA DIGITAL

Oleh: Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin

Serdang – Menyelusuri dunia yang semakin didorong oleh teknologi dan kecerdasan buatan, kepimpinan masa depan memerlukan keberanian, pengetahuan, nilai, dan visi yang jelas. Inilah yang menjadi intipati International Future Young Leaders Summit (iFUTURE@UPM 2025), sebuah program berprestij anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (BHEP UPM) dengan kerjasama Buddies Association UPM, yang berlangsung Auditorium Fakulti Pengajian Pendidikan.

Persidangan sehari ini menghimpunkan seramai 315 pelajar tempatan dan antarabangsa, menjadikannya medan pertemuan minda, perkongsian idea, dan pembinaan jaringan global dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang bersedia mendepani cabaran era digital. Dengan tema “Innovating Leadership: Empowering Youth for a Digital Future”, iFUTURE@UPM 2025 bukan sekadar satu acara, tetapi sebuah gerakan yang menyalakan semangat kepimpinan berasaskan nilai, inovasi, dan keberanian.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Ahli Lembaga Pengarah UPM (Wakil Alumni), yang menegaskan bahawa iFUTURE adalah pemangkin kepada lahirnya pemimpin yang berani membawa perubahan. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar pelajar memanfaatkan peluang ini bukan sahaja untuk memperoleh ilmu, tetapi juga membina keyakinan dalam memimpin dengan tujuan yang jelas. Beliau menekankan bahawa kepimpinan sejati tidak diukur pada jawatan semata-mata, tetapi pada tindakan, nilai, dan keberanian untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Sorotan utama program ini adalah ucaptama oleh YBhg. Dato’ Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, bertajuk “Leading in the Digital Era: Challenges, Values, and the Future of Student Leadership”. Dalam ucapan, beliau mengingatkan bahawa teknologi tidak akan menggantikan manusia sepenuhnya kerana kepimpinan sebenar datang daripada nilai kemanusiaan. Menurut beliau, pemimpin yang relevan di abad ke-21 ialah mereka yang memiliki tujuan yang bermakna, membina hubungan berasaskan kepercayaan, memikul akauntabiliti, dan sentiasa terbuka kepada pembelajaran sepanjang hayat. Beliau mengingatkan peserta bahawa tanpa sikap belajar berterusan, pemimpin akan menjadi lapuk, manakala mereka yang berpaksikan nilai dan keberanian akan terus memimpin dengan keyakinan.

Antara sesi yang mencuri perhatian peserta ialah Forum Kepimpinan Digital bertajuk “Future-Proof Leadership: Data, Technology, and Ethical Responsibility”, yang menghimpunkan barisan panelis berwibawa. Forum ini menampilkan Prof. Ts. Dr. Rusli Haji Abdullah, bekas Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Muntasser Al Anbagi, Sekretariat Pascasiswazah Majlis Perwakilan Pelajar UPM serta Dwight Cutad, Presiden Google Developers Group UPM. Forum ini membincangkan secara mendalam bagaimana pemimpin masa depan perlu menguasai teknologi, mengurus data secara beretika, dan memastikan tanggungjawab sosial menjadi keutamaan dalam membuat keputusan. Perbincangan interaktif bersama peserta membuka ruang kepada dialog kritis mengenai cabaran kepimpinan di tengah arus transformasi digital, selain memberi inspirasi untuk melahirkan pemimpin yang bukan sahaja cekap teknologi tetapi juga berpaksikan nilai kemanusiaan.

Tidak terhenti di situ, iFUTURE@UPM 2025 turut diserikan dengan 20 penyertaan poster yang mempamerkan idea-idea inovatif serta 8 peserta dalam sesi PUTRA X Talk yang mengetengahkan tema-tema berkisar teknologi, kelestarian, tanggungjawab sosial, dan pembangunan belia. Setiap perkongsian membawa perspektif baharu yang memperkukuh keyakinan bahawa generasi muda kini bukan sahaja celik teknologi, malah berani mencabar norma, menawarkan solusi, dan memimpin dengan visi yang lebih luas.

Lebih daripada sekadar sebuah persidangan, iFUTURE@UPM 2025 menjadi simbol aspirasi Universiti Putra Malaysia untuk melahirkan graduan yang seimbang, berdaya tahan, dan berpandangan global. Program ini seiring dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi serta True North UPM, menegaskan bahawa usaha membentuk pemimpin masa depan harus bermula dengan penekanan kepada nilai, inovasi, dan keberanian.

Menutup tirai program, para peserta membawa pulang bukan sahaja ilmu, tetapi juga semangat baharu untuk memimpin dunia dengan cara mereka sendiri. Dari Serdang, iFUTURE@UPM 2025 meniupkan angin perubahan yang bakal merentasi sempadan, membentuk pemimpin belia yang bersedia memacu dunia digital dengan keberanian, integriti, dan visi yang jauh melangkaui masa.

 

Tarikh Input: 29/07/2025 | Kemaskini: 29/07/2025 | ridhwan_nasrudin

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (02:54:50am-02:59:50am, 30 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]