DIKIR BARAT DAN WAYANG KULIT HIDUPKAN NOSTALGIA DI MENARA PUTRA | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » DIKIR BARAT DAN WAYANG KULIT HIDUPKAN NOSTALGIA DI MENARA PUTRA

DIKIR BARAT DAN WAYANG KULIT HIDUPKAN NOSTALGIA DI MENARA PUTRA

Oleh: Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin

SERDANG, 16 November 2025 – Suasana malam di pekarangan Menara Putra Warisan Budi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bertukar wajah seakan kembali ke era kesultanan Melayu lama lebih 200 hadirin membanjiri dataran bagi menjayakan Malam Tautan Nostalgia Alumni (MATNA): Malam Alumni Kijang Mas Siri 2. Program ini merupakan anjuran Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Persatuan Kebajikan Anak Negeri Kelantan (D’Naim) dan Kelab Dikir Barat Kijang Mas.

Kehadiran yang terdiri daripada 25 orang Alumni Kijang Mas dan 35 pelajar ahli Dikir Barat Kijang Mas, serta ratusan penonton lain, tetap utuh walaupun rintik hujan membasahi bumi. Semangat kental ini membuktikan keakraban alumni dan pelajar tidak luntur dek cuaca, malah mereka kekal setia di dataran sehingga ke penghujung acara. Acara diserikan dengan persembahan memukau daripada Kumpulan Wayang Kulit Takisan Mas Merah yang dipimpin oleh dalang muda, Megat Haikal. Kelincahan dalang memainkan patung bayang-bayang di sebalik layar putih berjaya menggamit kerinduan hadirin terhadap seni warisan.

Lebih istimewa, persembahan kali ini menampilkan watak-watak klasik seperti Wok Yoh, Samad, dan Said, serta kemunculan watak khas 'Tok Wea' yang mewakili Universiti Putra Malaysia dan merupakan mantan Presiden Persatuan Alumni UPM. Jalan cerita yang dibawakan sarat dengan nasihat, jenaka dan nostalgia kehidupan di kampus UPM, mencuit hati penonton yang rata-ratanya tersenyum mengimbau kenangan lama.

Puncak acara yang dinanti-nantikan ialah perlawanan persahabatan dikir barat antara pelajar dan alumni, yang memeriahkan suasana dengan tenaga luar biasa. Suara merdu dan lunak daripada para pelajar, digandingkan dengan suara mantap yang tidak dimamah usia daripada alumni, membuktikan bahawa ikatan persaudaraan melangkaui jurang generasi. Berlatarbelakangkan cahaya Menara Putra Warisan Budi, perhimpunan ini menjadi simbol penyatuan aspirasi. Kebanyakan alumni yang hadir mengakui bahawa konsep berkelah ini lebih mesra dan berjaya meruntuhkan dinding formaliti antara senior dan junior.

Majlis melabuh tirai pada jam 10.30 malam dengan sesi fotografi beramai-ramai di hadapan menara jam, di mana pelajar dan alumni yang segak bertanjak merakam kenangan sebagai satu keluarga besar Kijang Mas yang sentiasa menjunjung visi Berilmu Berbakti.

Tarikh Input: 27/11/2025 | Kemaskini: 27/11/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (12:45:22pm-12:50:22pm, 27 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]