Oleh: Syahmi Bakri
SHAH ALAM, 9 Jun – Pelancaran Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor dan Pelan Tindakan 2026–2030 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan inklusif serta memperkasakan komuniti OKU sebagai rakan kongsi pembangunan.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, dasar tersebut dibangunkan melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk komuniti OKU, penjaga, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan institusi akademik bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan sebenar golongan tersebut.
Pelaksanaan dasar ini memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan hidup, pendidikan sepanjang hayat, pembangunan ekonomi, aksesibiliti serta tadbir urus yang lebih inklusif. Pendekatan berasaskan hak dan pemberdayaan yang diketengahkan dijangka memberi impak positif kepada institusi pengajian tinggi dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra OKU.
Seiring dengan aspirasi tersebut, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar terus komited memperkukuh inisiatif sokongan kepada pelajar OKU melalui penyediaan perkhidmatan sokongan, program pembangunan sahsiah dan kebolehpasaran, advokasi kesedaran inklusiviti serta penambahbaikan kemudahan kampus yang dapat diakses oleh semua warga universiti. Inisiatif ini selaras dengan usaha UPM untuk mewujudkan persekitaran kampus yang inklusif, saksama dan lestari bagi seluruh komuniti pelajar.
Tarikh Input: 16/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan