24 Oktober 2024 - Seramai 92 ahli Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) yang dipimpin oleh Saudara Muhammad Hakimie Bin Abdul Rhaman telah menerima watikah pelantikan mereka untuk sesi 2024/2025. Majlis penyerahan watikah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, di Dewan Taklimat Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Arifin berharap agar dengan pelantikan jawatankuasa ini, proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM bagi sesi 2024/2025 akan berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah. Beliau menekankan kepentingan menjalankan tanggungjawab dengan bijaksana, penuh dedikasi, serta tanpa sikap rasis atau pilih kasih.
Prof. Dr. Arifin turut mengingatkan para ahli JPMPP bahawa mereka akan memainkan peranan penting dalam memastikan integriti dan ketelusan proses pemilihan, yang merupakan elemen penting dalam memperkukuhkan sistem demokrasi kampus.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman; Puan Noraihan Noordin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar; serta Saudari Umairah Farisah Ahmad Yuzri, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Caretaker Sesi 2024.
Majlis ini juga memberikan peluang kepada ahli JPMPP untuk bertemu dan berbincang mengenai tanggungjawab mereka serta strategi untuk memastikan kejayaan pemilihan yang akan datang.
Semoga dengan pelantikan ini, semua ahli JPMPP dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan berkomitmen tinggi.
Ahli JPMPP juga diingatkan oleh Saudara Muhammad Hakimie untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak serta sentiasa komited dalam berbakti kepada UPM dengan penuh dedikasi.
Dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, diharapkan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM akan mencapai kejayaan yang diharapkan, sekaligus memberikan manfaat kepada seluruh warga kampus.
Tarikh Input: 05/11/2024 |
Kemaskini: 05/11/2024 | azhar.mahdzir
PERKONGSIAN MEDIA