WIRA DI SEBALIK RODA : PEMANDU BHEP | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » WIRA DI SEBALIK RODA : PEMANDU BHEP

WIRA DI SEBALIK RODA : PEMANDU BHEP

Oleh: Marwan Abdul Razak

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa mengingatkan semua staf agar memberikan perkhidmatan yang terbaik, melangkaui jangkaan. Dalam ekosistem universiti yang sentiasa dinamik, pergerakan pelajar dan staf untuk tujuan akademik dan pentadbiran berlaku secara berterusan. Di sinilah para pemandu memainkan peranan yang sangat penting yang menjadi penggerak yang memastikan kelangsungan aktiviti universiti.

Kerjaya sebagai pemandu mungkin tidak segah profesion doktor atau jurutera. Gajinya juga lebih rendah berbanding pembantu tadbir. Sekali pandang, tugas mereka kelihatan mudah hanya menghantar penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi lain. Namun, adakah tugas ini benar-benar semudah yang disangka? Realitinya, setiap amanah yang dipikul memiliki tanggungjawab dan cabaran tersendiri. Seperti profesion lain yang memerlukan kesiapsiagaan contohnya doktor, polis, begitulah juga kerjaya sebagai seorang pemandu Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga menggalas antara sudut amanah yang sama iaitu sentiasa perlu bersiapsiaga dalam melaksanakan tugas tanpa mengira waktu.

Perancangan Rapi Demi Kelancaran Perjalanan

Pergerakan harian pelajar dan staf bermula seawal jam 7.00 pagi. Sekitar jam 5.00 hingga 6.00 petang hari sebelumnya, Ketua Unit Kenderaan BHEP, Encik Wan Nurriduan Zulkarnain Wan Zainuddin akan mengedarkan jadual pergerakan kepada semua pemandu untuk rujukan keesokan harinya. Berdasarkan jadual tersebut, pemandu akan menyusun jadual rehat dan tugasan mereka dengan teliti agar perkhidmatan berjalan lancar dan semua penumpang tiba ke destinasi dengan selamat.

Kepakaran para pemandu dalam selok-belok laluan, aliran trafik, bentuk muka bumi dan anggaran masa perjalanan menjadi faktor penting dalam merancang perjalanan. Tugasan hujung minggu juga memerlukan mereka berkorban masa bersama keluarga, demi memenuhi keperluan tugas.

Laluan Strategik dan Kenderaan Sesuai

Aktiviti pembelajaran pelajar bukan sahaja tertumpu dalam kampus, malah turut melibatkan lawatan luar di sekitar Lembah Klang, kawasan yang sinonim dengan kesesakan trafik. Oleh itu, kecekapan pemandu mengenal pasti laluan alternatif amat diperlukan. 

Pemilihan jenis kenderaan yang sesuai juga amat penting agar perjalanan selamat dan bebas daripada risiko kerosakan. Untuk tugasan di lokasi berbukit atau kawasan hutan seperti pesisir pantai, kenderaan pacuan empat roda seperti Hilux atau Toyota Innova diperlukan. Maklumat bentuk muka bumi dari pemandu akan membantu pihak pengurusan dalam penjadualan kenderaan yang sesuai.

Ketepatan Masa dan Keselamatan Diutamakan

Menepati masa adalah aspek penting dalam perkhidmatan pemanduan. Jangkaan waktu tiba perlu dirancang sebaik mungkin agar tidak berlaku situasi tergesa-gesa yang boleh mengundang kemalangan. Oleh itu, amat penting bagi setiap tempahan kenderaan disertakan dengan tentatif program sebagai rujukan perancangan perjalanan.

Lebih utama daripada itu, keselamatan penumpang adalah amanah paling besar. Pemandu membawa nyawa, bukan sekadar jasad. Garis panduan WP4.1 serta piawaian Agensi Pengangkutan Awam Darat sentiasa dipatuhi, dengan keutamaan terhadap keselamatan dan keselesaan pengguna.

Ilmu, Pengalaman dan Dedikasi

Pemandu-pemandu BHEP bukan sahaja memiliki lesen memandu, tetapi juga sarat dengan pengalaman dan semangat kerja yang tinggi. Encik Mohd Harris bin Mohd Ali, 45 tahun, telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai pemandu pelbagai jenis kenderaan termasuk bas. Beliau sentiasa menekankan kepentingan menghantar dan menjemput pelajar ke kuliah tanpa rasa jemu.

Turut bersama beliau sejak tahun 2002 ialah Encik Mohd Ayub Somudi, 58 dan Encik Sharifful Azizi, 59 yang menjadikan keselamatan dan keselesaan penumpang sebagai keutamaan dalam setiap pemanduan. Encik Jumasnizam, 43, pula menegaskan kepentingan membaca aliran trafik serta pengetahuan terhadap destinasi. Encik Mohd Shafarin Abd Mutalib, 37, memastikan beliau tiba sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Encik Mohd Ali Qawiy Tumesi dan Encik Mohd Haziq pula sentiasa mengutamakan kesiapsiagaan dalam setiap tugasan.

Kesimpulannya, pemandu BHEP adalah wira yang tidak didendangkan di sebalik kelancaran pergerakan warga kampus UPM. Tanpa mereka, pelajar dan staf tidak akan dapat mengikuti program atau menghadiri mesyuarat dalam keadaan selesa. Mereka membolehkan penumpang membaca buku, menggunakan komputer riba, dan melayari telefon dengan tenang sepanjang perjalanan. Pengalaman mereka ke pelbagai destinasi memberi inspirasi kepada kita untuk terus melangkah ke hadapan. Mereka tidak hanya memandu kenderaan, tetapi mengemudi kepercayaan dan amanah warga Universiti Putra Malaysia ke destinasi dengan cemerlang.

Tarikh Input: 28/07/2025 | Kemaskini: 05/08/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
W, (04:59:50am-05:04:50am, 17 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]