SEBUAH MELODI TERHASIL DARIPADA KERJASAMA | Bahagian Hal Ehwal Pelajar hep
» ARTIKEL » SEBUAH MELODI TERHASIL DARIPADA KERJASAMA

SEBUAH MELODI TERHASIL DARIPADA KERJASAMA

Oleh:Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan

Tidak Perlu Tahu Membaca Nota Muzik Untuk Mula Bermain Caklempong

Pada mulanya, bunyi yang anda hasilkan mungkin kedengaran janggal. Beberapa ketukan, kemudian senyap, disusuli beberapa ketukan lagi. Ia tidak berbunyi seperti sebuah lagu. Namun, apabila pemain di sebelah anda mula memainkan bahagiannya dan mengisi ruang-ruang yang kosong tadi, sesuatu yang menarik berlaku. Tiba-tiba lahir sebuah melodi yang lengkap. Melodi itu bukan milik anda, dan bukan juga milik rakan anda, tetapi hanya wujud apabila kedua-dua bahagian dimainkan bersama. Inilah keunikan teknik bertingkah, iaitu asas permainan caklempong yang menjadikan kerjasama sebagai nadi utama persembahan.

Ramai yang beranggapan bahawa untuk bermain alat muzik tradisional seseorang perlu mempunyai bakat istimewa, dengan tahu membaca nota muzik atau telah berlatih sejak kecil. Hakikatnya, tanggapan tersebut tidak tepat, sekurang-kurangnya dalam permainan caklempong. Setiap bonang mempunyai nada yang telah ditetapkan. Pemain tidak perlu menala atau memalu alat, menyusun kedudukan jari yang rumit atau mengawal tiupan seperti pemain serunai. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengetuk pencu atau cembung pada bahagian atas bonang menggunakan kayu pengetuk atau pemalu  dan nada yang betul akan terus terhasil.

Cabaran sebenar bukanlah menghasilkan bunyi, tetapi menghasilkan susunan bunyi pada masa yang tepat. Pemain perlu mengetahui bila hendak masuk, bila perlu berhenti dan bagaimana menyesuaikan permainan dengan ahli ensembel yang lain. Kemahiran ini tidak bergantung pada bakat semula jadi, sebaliknya dibentuk melalui latihan yang konsisten, berulangan dan lebih baik sekiranya berpanjangan.

Keistimewaan caklempong juga terletak pada sifatnya sebagai permainan berkumpulan. Ia tidak boleh dimainkan secara bersendirian kerana setiap alat mempunyai fungsi yang saling melengkapi. Gereteh membawa melodi utama, tingkah memainkan kord serta mengisi rentak, saua menghasilkan corak berulang pada nada rendah, manakala canang memainkan bahagian bes. Gendang ibu dan gendang anak pula saling bertingkah bagi mengawal tempo keseluruhan persembahan. Selain itu lebih menarik jika di tambah dengan Gong bagi menyelaras tempo serta Pupuik sejenis serunai kecil yang di buat daripada buluh.

Susunan ini menjadikan setiap pemain sangat penting. Berbeza dengan kebanyakan aktiviti berkumpulan yang masih boleh diteruskan walaupun ada ahli yang tidak hadir, kehilangan seorang pemain dalam ensembel caklempong akan meninggalkan ruang kosong yang dapat didengar dengan jelas. Walaupun keadaan ini mungkin memberi sedikit tekanan, ia juga membawa makna bahawa setiap ahli benar-benar diperlukan dan memainkan peranan yang tidak boleh dipandang ringan.

Kelebihan lain ialah pemain baharu tidak perlu menunggu bertahun-tahun sebelum berpeluang membuat persembahan. Oleh sebab tahap kesukaran setiap bahagian berbeza, mereka boleh memulakan latihan dengan memainkan bahagian yang lebih mudah sambil meningkatkan kemahiran untuk menguasai bahagian melodi. Malah, caklempong boleh dipersembahkan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan majlis. Ia boleh dijinjing semasa perarakan, diletakkan di atas tepak berkaki untuk persembahan pentas atau dimainkan sambil duduk bersila atau berdiri menggunakan tapak instrument bagi persembahan yang lebih dekat dengan penonton.

Persoalannya, apakah lagu yang boleh dimainkan? Masih ramai beranggapan bahawa alat muzik tradisional hanya sesuai untuk lagu-lagu lama. Anggapan ini sebenarnya kurang tepat. Pada peringkat awal, caklempong menggunakan sistem tangga nada pentatonik yang terdiri daripada lima nada. Namun sekitar tahun 1970-an, sistem permainannya telah dikembangkan kepada tangga nada diatonik tujuh nada. Perubahan ini membuka ruang kepada caklempong untuk mengiringi pelbagai lagu moden tanpa menghilangkan identitinya.

Malah, antara ciri yang membezakan caklempong Malaysia daripada Talempong di Sumatera Barat ialah penggunaan akordion, iaitu alat muzik yang berasal daripada pengaruh Barat. Kehadiran akordion membuktikan bahawa seni caklempong telah lama menerima unsur luar dan menyesuaikannya dengan identiti tempatan. Tradisi ini sentiasa berkembang mengikut zaman tanpa meninggalkan akar budayanya.

Walaupun ruang untuk membuat olahan moden sentiasa terbuka, penggiat caklempong terkenal, Pak Yuzi (Yuzaimuddin Md. Yusof), mengingatkan bahawa pembaharuan tidak seharusnya menghapuskan identiti asal muzik ini. Pendekatan yang terbaik ialah menguasai lagu-lagu tradisional terlebih dahulu sebelum menghasilkan gubahan atau olahan moden yang lebih kreatif.

Peringatan tersebut lahir daripada kebimbangan terhadap kelangsungan warisan ini. Pada 17 Ogos 2018, caklempong telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Namun di sebalik pengiktirafan itu, bilangan pewaris seni ini semakin berkurangan. Atas sebab itulah Pak Yuzi sendiri giat mengajar murid-murid sekolah rendah sebagai usaha memastikan kesinambungan warisan ini tidak terputus.

Bagi generasi muda, keadaan ini sebenarnya membuka satu peluang yang besar. Kemahiran bermain caklempong kini semakin jarang dimiliki. Kemahiran yang unik dan tidak dimiliki oleh ramai orang mampu menyerlahkan seseorang, sama ada melalui penyertaan dalam festival-festival peringkat kebangsaan seperti Festival Caklempong anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mahupun sebagai nilai tambah dalam rekod penglibatan kokurikulum.

Akhirnya, anda tidak perlu membuat keputusan hari ini sama ada ingin menjadi pemain caklempong atau tidak. Apa yang diperlukan hanyalah keberanian untuk menghadiri satu sesi latihan. Peganglah sepasang kayu pengetuk, ketuklah bonang buat kali pertama dan dengarkan sendiri bagaimana bunyi yang anda hasilkan bergabung dengan bunyi rakan lain sehingga melahirkan sebuah melodi yang tidak mungkin wujud jika dimainkan bersendirian bak kata pepatah "Berat Sama Di Pikul, Ringan Sama Di Jinjing. Itulah keindahan sebenar caklempong; sebuah seni yang mengajar bahawa keharmonian hanya lahir melalui kerjasama.

Mahasiswa yang berminat boleh menghubungi Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, untuk mendapatkan jadual latihan.

Nota sumber: Rencana ini disusun berdasarkan Senarai Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2018 oleh Jabatan Warisan Negara, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Portal Pemetaan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta buku Gongs and Pop Songs: Sounding Minangkabau in Indonesia (2015) karya Jennifer A. Fraser.

“Keharmonian hanya lahir melalui kerjasama.”

 

 

Tarikh Input: 28/08/2026 | Kemaskini: 28/08/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
W, (06:56:40pm-07:01:40pm, 31 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]