Universiti Awam Digalak Tawar Kursus Jangka Pendek | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Universiti awam digalak tawar kursus jangka pendek

Universiti awam digalak tawar kursus jangka pendek

 

Universiti Awam (UA) digalakkan untuk menjadi penyedia kursus jangka pendek bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), selain mampu menambah pendapatan institusi masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, permintaan global terhadap kursus jangka pendek sememangnya tinggu, malah universiti terkemuka dunia seperti Harvard University giat menawarkannya.

Katanya, penawaran kursus jangka pendek ini juga boleh dijalankan bersama antara UA dengan kementerian lain mengikut bidang tujahan (niche) masing-masing.

 

"Kini, kerjasama silang bidang, silang kepakaran dan silang kementerian perlu dilakukan supaya mampu menghasilkan kerjasama yang cekap.

"Selain itu, kursus jangka pendek ini juga boleh ditawarkan kepada pelajar antarabangsa dan usaha ini pastinya mampu menjadi tarikan pelajar luar untuk menyambung pengajian di Malaysia seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan antarabangsa," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersempena dengan sesi lawatan ke Mercu MQA.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Pada pertemuan itu, Zambry berkesempatan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi MQA berkenaan peranan, inisiatif dan cabaran agensi itu dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terus berada pada landasan yang tepat.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, UA juga digalakkan menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Katanya, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yang diidamkan dalam bidang masing-masing.

"Hingga kini, terdapat tiga jenis APEL diperkenalkan MQA iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi, APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon," katanya.

 

sumber artikel: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2023/12/1191085/universiti-awam-digalak-tawar-kursus-jangka-pendek

Tarikh Input: 18/04/2024 | Kemaskini: 18/04/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXFCJAZ~