
Oleh: Farhah Fakhrudin
Dalam persekitaran kerja hari ini, tekanan sering dianggap sebahagian daripada rutin harian. Ia hadir dalam bentuk tugasan yang datang serentak dari pelbagai arah, permintaan yang perlu dipenuhi segera, serta arahan saat akhir yang memerlukan tindakan pantas tanpa banyak ruang untuk bertangguh. Bagi ramai pekerja, tekanan dianggap sebagai sebahagian daripada lumrah yang perlu ditempuh dalam membina kerjaya. Namun di sebalik semua itu, wujud persoalan penting yang sering diketepikan: adakah tekanan ini sebenarnya membantu, atau sedang membebankan secara senyap?
Tekanan tidak semestinya membawa kesan negatif. Dalam psikologi, tekanan yang bersifat membina dikenali sebagai eustress, satu bentuk tekanan sihat yang mendorong individu untuk bekerja lebih fokus, merancang dengan lebih baik dan mempertingkatkan prestasi. Contohnya, tekanan menjelang satu pembentangan penting boleh menjadikan seseorang lebih teliti dan bersedia. Tekanan yang datang dengan cabaran baru pula boleh mencetuskan semangat untuk belajar dan berkembang.
Namun begitu, garis pemisah antara tekanan yang membina dan tekanan yang merosakkan sering kali kabur. Tekanan boleh menjadi racun apabila ia hadir tanpa henti, datang daripada sumber yang tidak terkawal, dan disokong pula oleh suasana kerja yang dingin, terburu-buru atau bersifat ‘siapa kuat, dia bertahan’. Dalam keadaan ini, tekanan berubah menjadi beban yang tidak kelihatan, membungkam dalam diam dan memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Malangnya, budaya kerja dalam banyak organisasi menjadikan tekanan sebagai penanda aras kekuatan. Mereka yang sanggup ‘bertahan’ dianggap lebih layak atau lebih profesional. Sedangkan ramai yang sebenarnya memendam, menyesuaikan diri secara terpaksa, dan perlahan-lahan kehilangan motivasi. Beban kerja yang tidak seimbang, komunikasi yang tidak jelas, serta kurangnya ruang untuk bersuara menjadikan tekanan ini bukan lagi cabaran, tetapi ancaman senyap yang menghakis keupayaan dari dalam.
Kepimpinan dan struktur organisasi memainkan peranan penting dalam membentuk bagaimana tekanan dihadapi dan ditangani. Organisasi yang sihat bukanlah organisasi yang tidak ada tekanan, tetapi yang menyediakan sokongan untuk menguruskannya. Ia bermula dengan membina kejelasan dalam tugasan, keadilan dalam pengagihan kerja, dan suasana kerja yang mendorong kepada saling faham dan terbuka. Dalam situasi begini, tekanan masih wujud tetapi ia dikawal, dibincang, dan tidak membebankan secara berlebihan.
Pekerja juga memainkan peranan penting dalam mengurus tekanan. Mengenal pasti isyarat awal seperti keletihan melampau, hilang tumpuan, rasa tidak berdaya atau emosi yang tidak stabil adalah langkah pertama. Langkah seterusnya ialah keberanian untuk menetapkan sempadan dan berbincang secara terbuka, tanpa rasa takut dilabelkan sebagai ‘lemah’ atau ‘tidak tahan kerja’.
Akhirnya, tekanan hanyalah satu elemen dalam perjalanan kerjaya yang boleh menjadi penggerak atau penghalang, bergantung bagaimana ia dilayan. Ia mampu menjadi dorongan yang membawa perubahan positif, tetapi juga boleh menjadi beban yang membinasakan jika diabaikan.
Keseimbangan adalah kunci. Kita tidak boleh menghapuskan tekanan sepenuhnya, tetapi kita boleh membentuk cara kerja yang lebih siuman di mana manusia bukan hanya dinilai berdasarkan apa yang mereka capai, tetapi juga bagaimana mereka dijaga semasa mencapai semua itu.
Tarikh Input: 16/06/2025 | Kemaskini: 23/06/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan