
Scammer Dalam Talian: Ancaman Terhadap Pelajar IPTA di Malaysia
Dalam era digital yang serba canggih ini, penipuan dalam talian atau 'scam' semakin berleluasa, dan antara golongan yang menjadi sasaran utama adalah pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kecanggihan teknologi serta akses mudah kepada maklumat peribadi menjadikan pelajar IPTA terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan yang mampu menyebabkan kerugian besar, baik dari segi kewangan mahupun emosi. Isu ini semakin meruncing dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak, termasuk institusi pendidikan dan pihak berkuasa.
Antara modus operandi yang sering digunakan oleh scammer adalah menyamar sebagai pegawai polis atau wakil institusi. Sebagai contoh, seorang pelajar IPTA di Jasin mengalami kerugian sebanyak RM38,000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang mendakwa pelajar tersebut terlibat dalam siasatan berkaitan pengubahan wang haram dan sindiket dadah. Selain itu, terdapat juga sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan palsu kepada pelajar, terutamanya melalui platform e-Dagang dan media sosial. Seorang pelajar di Johor Bahru kerugian lebih RM18,000 selepas tertipu dengan janji komisen lumayan daripada kerja dalam talian.
Bentuk penipuan lain yang popular ialah panggilan telefon palsu. Sindiket menggunakan identiti kononnya dari syarikat ternama atau pihak berkuasa seperti polis untuk menakut-nakutkan mangsa. Seorang pelajar di Terengganu dilaporkan kerugian RM64,200 selepas terpedaya dengan panggilan palsu yang mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah. Tidak ketinggalan juga ialah kes penipuan pembelian dalam talian, di mana pelajar IPTA menjadi mangsa selepas membuat pembayaran kepada penjual palsu yang mempromosikan barangan seperti telefon bimbit dan motosikal lelong dengan harga murah di Facebook.
Penipuan berkaitan tawaran biasiswa palsu juga semakin meningkat. Baru-baru ini, seorang pelajar tahun satu di sebuah IPTA hampir menjadi mangsa selepas ditawarkan biasiswa berjumlah RM4,000 melalui aplikasi Telegram. Mangsa diminta membayar pendahuluan sebanyak RM200 dan memberikan maklumat peribadi sebelum menyedari bahawa ia adalah satu penipuan.
Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa, pelajar IPTA perlu berwaspada dengan sebarang panggilan, mesej atau tawaran yang tidak masuk akal. Jangan mudah panik atau percaya dengan dakwaan bahawa anda terlibat dalam jenayah atau perlu membayar wang untuk menyelesaikan sesuatu isu. Selain itu, pelajar harus mengelakkan daripada berkongsi maklumat peribadi dan kewangan dengan individu yang tidak dikenali, serta menyemak kesahihan sebarang tawaran melalui saluran rasmi. Portal Semak Mule PDRM boleh digunakan untuk menyemak nombor akaun dan telefon yang mencurigakan. Sekiranya berlaku sebarang penipuan, laporkan segera kepada pihak berkuasa atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Kesimpulannya, penipuan dalam talian merupakan ancaman serius yang memerlukan perhatian dan tindakan pantas. Pelajar IPTA perlu dilengkapi dengan kesedaran dan ilmu yang mencukupi untuk berdepan dengan taktik scammer yang semakin licik. Dengan kewaspadaan dan sokongan daripada pelbagai pihak, kita mampu membendung gejala ini daripada terus berleluasa.
Tarikh Input: 28/02/2026 | Kemaskini: 29/04/2026 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan