Oleh: Nureedayu Zapuri
Dalam kehidupan seharian, pekerjaan sering dianggap sebagai satu kewajipan semata-mata untuk mencari rezeki, membayar bil, dan menyara kehidupan. Namun, Islam melihat pekerjaan dengan sudut pandang yang jauh lebih luas. Bekerja bukan hanya usaha memenuhi keperluan duniawi, bahkan ia mampu menjadi ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT jika dilakukan dengan niat yang ikhlas, penuh amanah, dan berlandaskan syariat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan suatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun (itqan).” (Riwayat al-Baihaqi). Hadis ini mengajar bahawa dalam setiap pekerjaan, tekun, teliti, dan kesungguhan adalah syarat utama agar ia bernilai tinggi di sisi Allah SWT.
Apabila seseorang bekerja dengan penuh keikhlasan, berdisiplin, jujur, dan bertanggungjawab, dia bukan sahaja memberi manfaat kepada organisasi, malah setiap langkah kerjanya menjadi pahala yang mengalir di sisi Allah. Sebaliknya, jika kerja dilakukan sambil lewa, penuh kelalaian atau hanya kerana gaji semata-mata, maka hilanglah nilai rohaninya. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 105: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.” Ayat ini mengingatkan bahawa setiap usaha kita sentiasa diperhatikan Allah, dan tiada yang sia-sia di sisi-Nya.
Di tempat kerja, kita juga diuji dengan pelbagai cabaran. Ada kala timbul rasa malas, cuai, atau dengki terhadap rakan sekerja. Sifat-sifat mazmumah ini harus dijauhi kerana ia merosakkan suasana kerja dan menghalang keberkatan rezeki. Islam menganjurkan agar hati sentiasa dihiasi dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, amanah, sabar, syukur, bekerjasama, dan saling menghormati. Dengan akhlak yang baik, suasana kerja menjadi harmoni, produktif, dan membawa manfaat bersama.
Pekerjaan juga boleh menjadi ladang pahala yang luas. Seorang guru yang mengajar dengan ikhlas bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membuka jalan pahala berpanjangan. Seorang staf pentadbiran yang mengurus dokumen dengan teliti dianggap sedang menunaikan amanah. Seorang pekerja kebersihan yang menjaga persekitaran turut dihitung sebagai melakukan amal soleh. Selagi niatnya kerana Allah, maka semua itu bukan hanya kerja duniawi, tetapi ibadah yang mendekatkan diri kepada-Nya.
Oleh itu, marilah kita memperbaharui niat setiap hari. Bangunlah dengan doa dan tekad bahawa kerja yang dilakukan bukan sekadar mencari rezeki, tetapi sebagai ibadah yang memberi manfaat kepada diri, masyarakat, dan agama. Dengan niat yang betul, usaha yang bersungguh-sungguh, serta hati yang ikhlas, setiap tugasan besar atau kecil akan diberi ganjaran pahala dan keberkatan hidup. Bekerjalah dengan penuh rasa tanggungjawab kerana ia adalah amanah, dan jadikan pekerjaan kita sebagai jalan menuju kejayaan hakiki, iaitu keredaan Allah SWT. Sesungguhnya, dengan bekerja kerana Allah, kita akan tenang di dunia, dihormati manusia, dan bahagia di akhirat.
Tarikh Input: 30/09/2025 | Kemaskini: 30/09/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan