Rakan Terjemah Nota Penting | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Rakan terjemah nota penting

Rakan terjemah nota penting

 

KEKURANGAN pada diri jika disulami dengan kecekalan, semangat yang kuat dan sentiasa berfikiran positif mampu menjadikan seseorang itu bukan saja berjaya, tetapi cemerlang dalam apa juga bidang diceburi.

Itu yang dibuktikan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang berjaya menamatkan pengajian dan bergelar graduan dalam bidang dipilih.

Lebih membanggakan, mereka tidak hanya berjaya, malah cemerlang, sekali gus memperoleh anugerah tertinggi pada sidang konvokesyen.

Dengan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, segala pengorbanan mereka itu adalah contoh terbaik buat semua lapisan masyarakat untuk terus berusaha dalam apa jua keadaan. Masalah pendengaran yang dialami bukan penghalang kepada Nur Nadia Ismail, 26, untuk menjadi pelajar cemerlang.

Malah, pelajar OKU pendengaran yang meraikan anugerah dekan bagi lima semester itu menerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan pada majlis konvokesyen ke-50 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Jangan jadikan kekurangan sebagai halangan untuk berjaya, tetapi sentiasa gunakan peluang yang ada dengan bijak,".

"Itu antara kata-kata yang sentiasa menjadi pegangan saya untuk terus berusaha melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan," kata anak bongsu daripada lima beradik.

Nur Nadia berkata, dengan kekurangan diri sememangnya dia tidak pernah terlepas menempuh pelbagai cabaran terutama dalam menimba ilmu.

Menurutnya, sejak dari tadika sehingga sekolah menengah, saya tidak mempunyai masalah kerana bergaul dengan rakan-rakan yang pekak saja.

"Sehingg menyambung pengajian di peringkat diploma dan kemudia sarjana. Keadaan cukup mencabar kerana saya baru belajar untuk bergaul dengan pelajar normal.

"Bukan itu saja, komunikasi juga menjadi masalah utama ketika itu kerana kebanyakan orang normal tidak tahu bahasa isyarat.

"Mujur saya mengambil bidang Pendidikan Khas di mana pensyarah dan rakan-rakan dapat memahami kekangan yang dihadapi," katanya.

Bukan itu saja, pandemik Covid-19 juga adalah cabaran besar buat Nur Nadia terutama apabila pengajaran dan pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian.

Nur Nadia mengakui sebelum PKP, dia melihat nota yang ditulis rakan di sebelahnya untuk memahami apa yang disampaikan pensyarah.

Namun, ketika PKP saya kehilangan cara dan terpaksa mencari jalan untuk memahami apa yang dipelajari.

"Pelbagai cara saya lakukan termasuk menggunakan aplikasi 'speech to text'. Bagaimanapun, aplikasi itu tidak menterjemah bahasa Melayu kepada bahasa Melayu.

"Disebabkan rasa kecewa, saya meluahkan perasaan dalam kumpulan Whatsapp untuk meminta bantuan dan Alhamdulillah beberapa rakan membantu menterjemahkan nota penting untuk setiap subjek.

"Saya juga bersyukur kerana pensyarah banyak membantu. Mereka selalu berpesan kepada rakan sekelas untuk selalu membantu golongan memerlukan, termasuk saya," katanya.

Seperti pelajar atau manusia biasa, Nur Nadia juga pernah berasa 'putus asa' lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya.

"Ketika belajar di peringkat diploma, saya banyak kali berasa tidak mampu meneruskan pengajian dan pernah terfikir untuk berhenti belajar.

"Begitu juga ketika di peringkat ijazah, walaupun sudah mampu membiasakan diri, tetapi ada kalanya semangat menjadi lemah dan mahu berputus asa kerana tidak boleh mendengar," katanya.

Namun, memikirkan pengorbanan ibu dan ayah serta dorongan pensyarah dan rakan-rakan, Nur Nadia terus berusaha belajar seterusnya mencapai cita-citanya untuk menjadi guru pekak pendidikan khas yang berjaya.

"Pengorbanan ibu dan ayah menjadikan saya kuat. Ayah adalah hero saya yang tidak pernah lelah memberi kata-kata semangat mendengar luahan masalah dan banyak lagi pengorbanan yang dilakukan.

"Disebabkan itu, saya nekad untuk membanggakan mereka. Pensyarah, guru dan rakan-rakan juga banyak membantu, sekali gus membangkitkan semangat untuk terus ke hadapan," katanya.

Bagi masyarakat terutama pelajar OKU, jangan pernah berasa kekurangan yang ada menjadi penghalang untuk berjaya.

"Kita perlu buktikan bahawa semua orang boleh berjaya termasuk OKU. Kalau penat atau malas, cari kata-kata yang boleh bangkitkan semangat.

"Semoga anak-anak OKU pekak atau yang lain sentiasa mencontohi OKU yang sudah berjaya seperti saya untuk mendapatkan impian yang diingini.

"Doa sebelum kelas bermula. Minta Allah permudahkan untuk lebih faham dan setiap kali lepas kelas, minta rakan terangkan semula serta buat nota penting," katanya.

Sementara itu, bagi graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) Norramlee Mohamed Noor, 55, sentiasa berfikiran positif menjadi pegangan hidupnya.

Menurutnya sebagai seorang yang pernah merasai kehidupan normal, kecacatan fizikal pada kaki yang dialami akibat masalah tulang belakang tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

"Kehidupan memang sedikit berubah dan pergerakan juga terbatas. Berasa tidak kuat untuk meneruskan pengajian juga pernah saya rasai.

"Namun, apabila kita sentiasa berfikiran positif, sentiasa yakin dan sabar, sebesar manapun cabaran itu, ia mampu dihadapi," katanya.

"Sokongan keluarga, terutama isteri, pensyarah, rakan dan orang sekeliling juga menjadi pendorong untuknya untuk meneruskan pengajian," tambahnya.

Walaupun terpaksa berdepan masalah kesihatan sepanjang pengajian, segala pengorbanan berhasil apabila kini sudah bergelar doktor falsafah.

Norramlee berkata, dalam apa juga keadaan tanamkan sikap positif.

"Kejayaan kejayaan tidak akan dikecapi tanpa halangan. Oleh itu, walaupun bergelar OKU, kita mampu berjaya," katanya.

 

sumber: https://www.hmetro.com.my/akademia/2022/12/911531/rakan-terjemah-nota-penting

Tarikh Input: 08/01/2024 | Kemaskini: 10/01/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEOMAf~