Penulis: Nik Mohamad Ridhwan bin Nik Nasrudin
Dalam landskap pendidikan tinggi negara, pembangunan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk membentuk generasi pemimpin masa hadapan. Hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 jelas mengangkat cita-cita ini bagi melahirkan graduan holistik, seimbang, dan bercirikan keusahawanan. Dalam usaha ini, aktiviti kokurikulum, khususnya yang berteraskan kesenian dan kebudayaan, muncul sebagai wahana ampuh yang bukan sahaja menyemai bakat tetapi turut menggilap potensi kepimpinan mahasiswa.
Malaysia, dengan segala kekayaan etnik dan kepelbagaian budaya, menyediakan tanah subur untuk aktiviti kebudayaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ia bukan sekadar pentas seni, tetapi ruang untuk membentuk sahsiah, memupuk jati diri, dan menyemai benih perpaduan nasional. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti terus komited mengangkat peranan budaya sebagai komponen penting dalam ekosistem pembangunan mahasiswa.
Dalam konteks ini, bakat bukan hanya dilihat sebagai kebolehan semula jadi, tetapi sebagai potensi yang perlu dicungkil dan dibangunkan secara strategik. Aktiviti kebudayaan menjadi medan untuk mahasiswa menyerlahkan diri, sama ada di atas pentas melalui tarian, nyanyian dan lakonan, atau di balik tabir sebagai pengurus teknikal, media dan logistik. Universiti Putra Malaysia melalui Seksyen Pemerkasaan Seni Budaya dan Warisan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengorak langkah untuk bekerjasama dalam melahirkan watak pelajar kebudayaan yang aktif dan dinamik. Skop aktiviti kebudayaan luas, dari seni visual ke muzik tradisional, dari sastera lisan ke seni mempertahankan diri. Ruang ini terbuka kepada pelbagai jenis bakat dan minat.
Kepimpinan mahasiswa tidak lagi terhad kepada mereka yang memegang jawatan kepimpinan seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Perwakilan Kolej (MPK), atau Majlis Perwakilan Fakulti (MPF). Sebaliknya, kepimpinan diukur melalui kebolehan memimpin, mengurus dan menyumbang dalam pelbagai konteks termasuk di dalam dewan latihan tari, studio muzik, bengkel produksi atau pentas persembahan. Konsep ini seiring dengan kerangka Kemahiran Insaniah (KI) KPT, yang menekankan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, keusahawanan, etika, dan kepimpinan yang boleh dipelajari dan diasah dalam suasana aktiviti kebudayaan.
Bidang Kebudayaan Sebagai Medan Kepimpinan Mahasiswa
Lebih menarik, proses ini bukan teori semata-mata. Pengurusan projek kebudayaan berfungsi sebagai ’medan kepimpinan' sebenar, di mana mahasiswa belajar secara langsung bagaimana mengurus sumber yang terhad, membahagi tugasan, memimpin pasukan, dan membuat keputusan penting. Tugas sebagai pengarah program, setiausaha, atau bendahari mahupun jawatankuasa akan memberi pendedahan kepada kemahiran teknikal dan komunikasi yang tinggi nilainya di pasaran kerja. Ia membina daya tahan, fleksibiliti, dan kebolehan menyusun keutamaan, set kemahiran yang penting untuk dunia sebenar.
Namun, potensi besar ini turut diiringi oleh pelbagai cabaran. Sikap '3K' – kuliah, katil dan kafeteria, semakin menular dalam kalangan mahasiswa menjadikan penglibatan dalam aktiviti kebudayaan, terutamanya seni tradisional makin berkurangan. Kekangan masa, konflik dalaman pasukan, kekurangan fasiliti, tenaga pengajar, dan persepsi negatif terhadap peranan budaya turut menjejaskan impak sebenar aktiviti ini.
Bagi mengatasi cabaran ini, pendekatan menyeluruh dan bersepadu diperlukan. Aktiviti budaya perlu diperkasa dengan kepelbagaian dan inovasi agar lebih relevan dan menarik kepada generasi kini. Mahasiswa perlu diberi pengiktirafan yang setimpal, autonomi untuk merancang, serta latihan kepimpinan yang berstruktur. Pihak universiti juga perlu memperkukuh hala tuju kebudayaan, menilai impak aktiviti secara komprehensif, dan mengintegrasikan pembangunan KI dalam kurikulum akademik. Mahasiswa juga perlu disedarkan berkenaan kepentingan kebudayaan sebagai salah satu identiti bangsa dan negara supaya warisan yang telah terbina sejak sekian lama tidak ditelan oleh arus masa dan pemodenan.
Kesimpulannya, aktiviti kebudayaan bukan sekadar hobi atau hiburan. Ia adalah platform pendidikan yang bernilai tinggi dalam membentuk mahasiswa yang seimbang, bukan sahaja cerdas minda, tetapi juga kaya jiwa, halus budi dan cintakan warisan. Dengan sokongan semua pihak, kebudayaan mampu melahirkan tunjang kepimpinan generasi masa depan yang berani memimpin dalam dunia penuh kepelbagaian dan cabaran.
Tarikh Input: 28/04/2025 | Kemaskini: 28/04/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan