Merealisasikan Bangsa Malaysia | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Merealisasikan bangsa Malaysia

Merealisasikan bangsa Malaysia

 

 PEMBINAAN bangsa adalah usaha bersama seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negaranya setaraf dengan bangsa dan negara lain

 

KUNCI dalam mengurus pembentukan negara bangsa adalah penentuan kedudukan indigeniti atau anak watan sebagai alat mengikat ahli penduduk di negara itu yang mesti diterima dan diperakui. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum. Usaha untuk menyatupadukan kaum melalui proses pembinaan bangsa perlu dilaksanakan. Proses itu bertujuan menyedarkan warganya mengenai harga diri bangsa yang merdeka dan berdaulat serta mampu membangunkan sebuah negara yang maju.

Oleh itu, pembinaan bangsa adalah usaha bersama seluruh rakyat bagi meletakkan bangsa dan negaranya setaraf dengan bangsa dan negara lain. Namun, Malaysia tidak perlu meniru negara lain, sebaliknya menjadi sebuah negara membangun dalam acuannya sendiri.

Malaysia tidak boleh dibangunkan hanya dalam aspek ekonomi semata-mata. Ia mesti dan seharusnya menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya sepanjang semua dimensi dari sudut ekonomi, politik, kerohanian, psikologi dan budaya.

Kita mesti membangun sepenuhnya dari sudut perpaduan dan solidariti nasional dan kesinambungan sosial, dari aspek ekonomi kita, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem dan kerajaan, kualiti hidup, nilai sosial dan kerohanian, juga pemupukan rasa bangga, jati diri, patriotisme dan yakin akan negara tercinta ini.

Di singkap tabir sejarah warisan pengalaman silam, sejarah pra-kolonial menunjukkan Malaysia adalah sebahagian gugusan kepulauan alam Melayu terdiri dari beberapa negeri dari timur di Filipina ke selatan di Pulau Jawa, di barat Pulau Sumatera dan utara Pattani. Setiap negeri ini diperintah oleh Raja. Kegiatan ekonomi utama adalah bertani, nelayan dan berdagang dengan peniaga Arab, India dan Cina.

Hasil pembangunan dan perdagangan setempat ini menjadikan, ada dalam kalangan negeri ini, berkembang hingga menjadi empayar seperti Majapahit, Melaka dan Pattani. Kedatangan pihak penjajah dari Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris merancakkan lagi eksploitasi sumber alam dan produk setempat seperti rempah ratus, timah dan pelbagai lagi.

Pembahagian kepulauan kawasan Alam Melayu mengikut kepentingan penjajah mempercepatkan lagi pembangunan di Malaysia, terutama bijih timah, penanaman getah secara ladang dan pembinaan prasarana seperti kereta api dan jalan raya.

Penggunaan tenaga kerja buruh asing dari China dibawa masuk tanpa diurus, manakala dari India diurus oleh penjajah Inggeris. Ini bukan sahaja melahirkan masyarakat majmuk di mana pekerjaan dan wilayah terbahagi mengikut etnik, tetapi juga jurang sosioekonomi yang meluas di antara mereka.

Ekonomi berasas etnik

Sistem ekonomi laissez faire yang membentuk struktur etnik dan pemilikan ekuiti korporat yang membezakan kumpulan etnik mengikut kegiatan ekonomi dan wilayah ini terus memperkukuhkan lagi pemilikan ekonomi oleh pemilik asing hingga ke dekad 1970-an walaupun negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Namun, konflik etnik 13 Mei 1969 meyakinkan pembangunan tanpa mengurus ketidaksamarataan, kemunduran, kemiskinan, dan kepeminggiran mengikut etnik dan wilayah akan menggugat kestabilan politik dan pembangunan negara. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dari 1970 hingga 1990 mengubah struktur masyarakat mengikut etnik dan ekonomi di atas pada alaf baharu ini, di mana kelas menengah terdiri daripada pelbagai etnik terbina, jurang sosioekonomi dikurangkan.

Malaysia terus alami proses pembangunan mapan, hingga transformasi masyarakat ke arah taraf hidup tinggi dan moden tersebar ke setiap pelusuk negara. Pada alaf baharu ini, pola perhubungan etnik di Malaysia dalam kalangan etnik Melayu, Kadazan, Dusun, Iban, Bidayuh, Melanau, Murut, Cina, India, Siam, Portugis dan lain-lain sudah berubah dan faktor etnik tidak semestinya menjadi pemisah di antara individu pelbagai bahasa, budaya, agama dan etnik.

Simbol identiti Melayu dalam Perlembagaan dicerminkan dalam peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), hak-hak istimewa Melayu (Perkara 153), Raja sebagai Ketua Negara (Perkara 32) dan Islam sebagai agama rasmi. (perkara 3). Kenyataannya, inilah tiga rukun keMelayuan yang membentuk landasan nasionalisme (bahasa, agama Islam dan yang dipersetujui sebelum kemerdekaan Raja).

Agak keterlaluan untuk membayangkan ketiga-tiga peruntukan penting itu terpaksa disorot semula, apatah lagi dikeluarkan dari Perlembagaan Persekutuan pada masa hadapan. Peruntukan ini menandakan kontrak sosial yang tidak bertulis tetapi begitu murni, sebagai pertukaran dengan hak kerakyatan untuk bukan Melayu sebelum kemerdekaan tercapai. Sesungguhnya kita tidak pasti sama ada kecenderungan ini boleh memperteguhkan nasionalisme Melayu dan kepelbagaian budaya dan dengan itu menjadi asas pembinaan bangsa Malaysia yang kita sama-sama idamkan.

Identiti nasional

Oleh itu, cabaran berat yang terbentang di hadapan untuk visi bangsa Malaysia direalisasikan ialah dengan menjadi perantara identiti membina ciri untuk identiti politik yang penting ini. Ini sudah tentu akan menuntut satu tindakan yang baik, memandangkan kerumitan perdebatan ideologi mengenai pembentukan bangsa dan identiti nasional di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang masih berlaku dan panas sejuknya yang bermusim.

Persoalannya, bagaimanakah kompromi itu dilaksanakan? Adakah satu jalan tengah sudah sedia wujud atau masih belum ditemui atau kita masih lagi tidur diatas bantal sama dan memiliki mimpi yang berbeza?

Soalnya sampai bila dan apakah sudah tiba waktunya isu ini harus ditamatkan untuk selama-lamanya. Salam Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke-60, Dirgahayu Malaysiaku. Tanah airku selamanya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

sumber: Berita Harian Online

Tarikh Input: 18/01/2023 | Kemaskini: 18/01/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEYNAq~