Oleh: Marlinah Muslim
Hari Bumi merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar yang disambut pada 22 April setiap tahun. Tema Hari Bumi pada tahun ini “Planet vs. Plastics” juga adalah antara yang paling menarik namun isu berkenaan tetap berterusan yang perlu ditangani.
Di Malaysia, beberapa inisiatif telah dilaksana untuk mengurangkan dan mengharamkan penggunaan plastik sekali guna sebagai sebahagian daripada usaha melindungi alam sekitar dan salah satu inisiatif berkaitan pengharaman penggunaan straw plastik bermula 1 Januari 2019 di premis menjual makanan dan minuman di seluruh negara dan larangan sepenuhnya terhadap penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis perniagaan dan kawasan rekreasi menjelang tahun 2025. Inisiatif ini bukan sahaja dilihat sebagai satu langkah yang bijak untuk mengurangkan pencemaran dan mempromosikan penggunaan alternatif yang mesra alam malah inisiatif ini mampu mendidik generasi baharu untuk peka dengan kelestarian alam sekitar.
Selain kesedaran tentang penggunaan plastik, generasi baharu juga didedahkan dengan amalan kitar semula yang betul. Pengenalan kepada konsep Mengurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula atau lebih dikenali sebagai '3R' ini sepatutnya telah lama diterapkan disemua peringkat sekolah serta peringkat pendidikan tinggi namun adakah kita yakin mereka memahami sepenuhnya konsep tersebut?
Jika kita perhatikan, dimana-mana tempat yang mempunyai tong kitar semula sebenarnya masih terdapat sisa yang tidak diasingkan dengan sempurna. Ada yang bercampur, kotor berminyak dan terdapat tisu yang telah digunakan walhal tisu dan kertas berminyak seharusnya tidak berada dalam tong kitar semula. Cabaran tersebut bukan sahaja terhad kepada tidak tahu tentang pengelasan sisa malah sikap tidak mahu mematuhi larangan penggunaan plastik kerana beranggapan semua benda tersebut boleh dikitar semula dengan mudah tanpa memahami fungsi dan amalan sebenar kitar semula.
Setiap daripada kita pasti pernah melihat simbol tiga anak panah membentuk tiga segi berwarna hijau dan secara langsung akan terbayang perkataan Kitar Semula (Recycle). Namun sebenarnya apa yang membimbangkan adalah apabila kita lupa kepada dua lagi perkataan dalam 3R iaitu perkataan Mengurangkan (Reduce) dan Guna Semula (Reuse). Kita terus menghasilkan sampah dengan tanggapan semuanya boleh dikitar semula! Fahaman dan amalan yang benar-benar salah. Kita terus menghasilkan sampah sehingga tidak peduli kemana dan siapa yang akan mengurus sisa kita selepas itu.
Perkara yang harus difahami oleh semua adalah sebenarnya Kitar Semula dan Guna Semula itu adalah inisiatif kepada tujuan asal iaitu mengurangkan sisa. Tujuan sebenar atau matlamat akhir 3R sebenarnya adalah Sifar Sisa atau Zero Waste. Kalau boleh tidak akan wujud lagi tempat pengumpulan sampah. Tidak wujud lagi tempat akhir pembuangan sisa yang bertan-tan banyaknya.
Sejarah 3R sebenarnya bermula pada 22 April 1970 iaitu dimana buat pertama kalinya sambutan Hari Bumi disambut. Ianya dicetuskan oleh senator Wisconsin, Gaylord Nelson yang mendapat ilham akibat kesan Perang Vietnam di mana kemusnahan alam sekitar yang teruk berlaku di Vietnam pada masa itu. Bermula dari itu juga, Amerika mula cakna tentang isu alam sekitar dan bagaimana untuk memulihkannya.
Melalui beberapa siri ceramah dan soal selidik ringkas kepada pelajar universiti sekitar tahun 2018, mendapati masih ramai tidak tahu jenis sisa mana yang boleh atau tidak boleh dikitar semula. Saya berharap tahun 2025 ini terdapat peningkatan kesedaran memandangkan Malaysia telah pun mengambil inisiatif yang banyak bagi membendung pengurusan sisa mentaliti kelas ketiga.
Secara logik kuantitatif, pertambahan jumlah sisa akan berkadar terus dengan jumlah populasi penduduk. Andai perkara ini tidak dibendung maka kemusnahan alam sekitar akan lebih banyak berlaku. Spesies hidupan laut dan darat akan terus terancam sekiranya kita tidak mahu mengambil peduli tentang kategori sisa yang tidak mudah terurai seperti plastik yang mengambil masa 10 ke 1000 tahun untuk terurai. Bahan aluminium juga termasuk antara bahan yang tidak mudah terurai kerana ia mengambil masa 80 hingga ke 200 tahun untuk benar-benar hancur manakala kaca mengambil masa jutaan tahun atau tidak terurai langsung.
Sejak wujudnya Matlamat Pembangunan Millennium atau dikenali sebagai Millennium Development Goals (MDG), 3R sebenarnya bukan sesuatu yang asing lagi tambahan pula selepas ia ditambah baik menjadi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang mana isu alam sekitar dibahas dengan lebih mendalam. PBB telah pun menggesa dunia agar mengambil tahu akan alasan sebenar mengapa 3R perlu dilaksana termasuk mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang lain dengan harapan matlamat ke-12 (SDG 12), ke-14 (SDG 14) dan ke-15 (SDG 15) dapat dicapai.
Kesedaran generasi kini tentang 3R dan pengurusan sisa yang betul perlu diperkenal sejak awal lagi. Melestarikan penyampaian ilmu kepada semua generasi tentang pengurusan sisa yang betul adalah amat penting demi kelestarian dan kesejahteraan negara dan dunia pada masa hadapan.

Gambar 1: Logo 3R yang digunakan
Tarikh Input: 25/04/2025 | Kemaskini: 28/05/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan