Manisnya Kecekalan | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Manisnya kecekalan

Manisnya kecekalan

 

Majlis konvokesyen yang dilaksanakan saban tahun di universiti awam dan swasta memperlihatkan semakin ramai graduan yang berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak hanya berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang, tetapi mendapat keputusan cemerlang.

Dalam setiap kejayaan itu ia disulami dengan keperitan yang terpaksa dihadapi lebih-lebih lagi dengan status yang 'dibawa'.

Namun, kecekalan dan usaha yang tidak pernah terhenti dalam menimba ilmu serta mengharungi hidup membuktikan bahawa sesiapa pun boleh berjaya.

Selama 15 tahun menjalani kehidupan normal, kemalangan jalan yang mengakibatkan kaki terpaksa dipotong pada bahagian paha cukup perit untuk diterima.

Lebih-lebih lagi bagi seorang yang bukan saja aktif dalam sukan, tetapi juga adalah wakil sekolah dalam bola sepak. 

Keadaan itu membuatkan hidup graduan Sarjana Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli, 27, berada di titik paling bawah dalam hidupnya.

"Sebagai wakil sekolah dalam sukan bola sepak, kehilangan sebelah kaki cukup memeritkan.

"Dalam tempoh setahun setengah, saya tidak bersemangat. Namun, sudah lumrah manusia. Semangat dalam kehidupan itu datang dan pergi dan itu juga yang saya alami.

"Selepas mendapat kaki palsu iaitu kira-kira lima bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya kembali ke sekolah," katanya.

Menggunakan kaki palsu untuk bergerak tidak seindah yang dilihat kerana kadangkala ia menyakitkan.

Dengan keadaan sekolah yang ketika itu memerlukan Mior Mohd Firdaus menaiki anak tangga untuk sampai ke sekolah, ia menguji beliau.

Namun, Mior Mohd Firdaus bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sering memberi semangat dan akhirnya dia berjaya menghabiskan pelajaran di peringkat SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Berpegang kepada prinsip hidup 'cuba saja kerana hidup ini tidak lama' dan 'usah peduli kata orang yang penting kita buat apa yang disukai walaupun berstatus OKU' ia tidak menghalang Mior Mohd Firdaus menjalani kehidupan seperti orang normal sepanjang pengajian.

"Walaupun berkaki palsu, saya seorang yang aktif. Pelbagai aktiviti yang saya lakukan bersama rakan-rakan sehingga ada kala saya terlupa dengan keadaan diri.

"Rakan-rakan juga sentiasa prihatin dengan keadaan saya, tetapi mereka tidak pernah meminggirkan saya.

"Saya juga bersyukur kerana UPM menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan buat pelajar OKU, sekali gus memudahkan kami menuntut ilmu," katanya.

Berputus asa itu adalah perkara normal dalam kehidupan pelajar dan Mior Mohd Firdaus juga tidak terlepas dengan situasi itu.

Namun, keadaan itu boleh diatasi dengan baik, sekali gus membuahkan hasil yang tidak disangka.

"Ketika belajar di peringkat ijazah sarjana muda, saya punya rakan-rakan di sekeliling yang sama-sama mengharungi kepayahan dalam pengajian.

"Jadi, segala halangan dan cabaran dapat dilalui bersa

ma terutama dalam pelajaran. Tetapi, ketika di peringkat sarjana, semuanya atas usaha sendiri, sekali gus menuntut kecekalan hati dan usaha sendiri.

"Alhamdulillah, saya boleh mengharunginya dan berjaya menghabiskan pengajian," katanya.

Dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, Mior Mohd Firdaus tidak menafikan ramai golongan muda yang berasakan kehidupan ini sukar.

Namun, katanya, jangan dengar sangat apa kata orang dan buat apa yang dirasakan betul.

"Jangan selalu membandingkan diri dengan orang lain kerana ia akan membuatkan kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada," katanya.

 

Kekurangan diri juga tidak pernah menghalang graduan Bacelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga OKU fizikal iaitu kerdil, Mas Nur Jannah Maskop, 25, untuk terus berjaya.

Sebagai insan yang mempunyai kekurangan, menghadapi pelbagai rintangan dan ujian dalam kehidupan sememangnya sangat mencabar.

"Sejak kecil, saya sering diejek. Saja juga malu untuk berkawan dengan orang baru kerana 'judgmental' mereka kuat.

"Sehingga ada satu ketika saya menyalahkan diri dan tertanya kenapa Allah ciptakan diri saya pendek. Tak normal macam orang lain," katanya.

Selain itu, menurut Mas Nur Jannah, kata-kata dusta orang sekeliling, pemilihan dalam membuat keputusan, penggunaan teknologi maklumat (IT) tidak dapat dikuasai dengan baik dan kehilangan insan tersayang (ibu) buat selamanya antara peristiwa yang pernah membuatkan Mas Nur Jannah mahu berputus asa dalam hidup.

"Namun, saya terus bangkit berjuang kerana kasih sayang orang terdekat terutama adik-beradik dan kata-kata nasihat dari luar yang ditemui tanpa sengaja menjadi motivasi kepada diri.

"Saya juga terus melangkah ke hadapan kerana saya mempunyai nilai dan harapan yang perlu dibawa serta dikongsikan bersama orang lain," katanya.

Menurut anak ke-13 daripada 14 beradik ini, kata-kata dan air mata ibu yang jatuh kerana gembira melihat kemajuan anaknya semakin dewasa dan berdikari menjadi wahana utama kenapa dia perlu berubah, memilih jalan sendiri dan menjadi diri sendiri untuk mengejar kejayaan di dunia serta akhirat.

Berpegang kepada prinsip 'gunakan akal waras dan hati bersih serta iman dalam melakukan sesuatu perkara' dan ungkapan azimat 'kekurangan yang ada pada diri adalah kelebihan yang perlu diguna dan dikuasai' juga ibarat peneman Mas Nur Jannah dalam mengharungi segala cabaran yang dihadapi.

Oleh itu, kepada anak muda di luar sana, nasihat Mas Nur Jannah, bermimpi sehingga 'menciptanya'. Teruskan dengan angan-angan, hasilkan dengan tindakan.

"Jadi apa pun selagi ia baik untuk diri, keluarga, agama dan negara.

"Jika ada rasa putus asa, tidak mengapa. Tukarkan rasa itu kepada semangat untuk menghadapi ujian ini. Percayalah, anda tidak keseorangan kerana ada orang yang masih bersamamu," kata Mas Nur Jannah yang kini bekerja sebagai pembantu guru.

Sementara itu, bagi Amiruddin Abdullah, 26, pula, dunianya menjadi gelap secara tiba-tiba apabila disahkan mengalami masalah saraf di kedua-dua mata sejak berusia setahun bukan penghalangnya berjaya dalam bidang diceburi.

Menurut pelajar jurusan Sejarah dan Tamadun Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanus

iaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini kekurangan itu juga tidak menghalangnya untuk aktif dengan aktiviti kokurikulum dan menjadi menjadi ahli jawatankuasa dalam beberapa persatuan yang disertai.

"Sejak kecil, saya sudah dididik untuk menerima kekurangan yang dimiliki, sekali gus membantu saya untuk lebih berdikari serta menyesuaikan diri dengan mudah dan mampu berjaya seperti individu normal lain," katanya.

Ditanya bagaimana menjalani rutin harian sebagai mahasiswa, Amiruddin berkata, dia memanfaatkan kemudahan teknologi yang banyak membantunya dalam pelajaran.

"Sebelum kuliah bermula, saya meminta nota lebih awal daripada pensyarah untuk saya mendengar melalui perisian khas pembaca skrin selain merakam menggunakan perakam suara. Jika ada sebarang kemusykilan, saya terus rujuk pensyarah. Pensyarah di sini sentiasa bersedia membantu.

"Kemudahan yang disediakan di UIAM juga banyak membantu pergerakan saya di sini.

"Saya akui bukan pelajar yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Oleh itu, saya sentiasa buat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan," katanya.

Menurutnya, sejak kecil, ibu bapanya banyak berkorban memastikan segala keperluannya sebagai OKU dipenuhi dengan mengutamakan pelajaran.

"Saya masih ingat, ketika di sekolah rendah, ibu bapa berusaha mencari sekolah khas untuk saya belajar bersama rakan yang senasib. Lebih mengharukan apabila mengetahui ada sekolah bersesuaian yang agak jauh dari rumah mereka sanggup berkorban berpindah dari Gemas dan menyewa di Seremban, Negeri Sembilan supaya lebih mudah berulang-alik.

"Pengorbanan ibu bapa ini mendorong saya belajar bersungguh-sungguh untuk membalas kepercayaan yang diberikan selama ini.

"Justeru, kepada ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, terima mereka dengan hati terbuka dan berusaha memastikan keperluan dipenuhi. Jangan pernah berputus asa dan tidak anggap anak kurang upaya adalah penamat segala-galanya.

"Bagi OKU, jangan anggap kekurangan diri itu melemahkan diri dan cuba sesuaikan diri kerana orang normal juga mempunyai cabaran tersendiri.

"Kita juga mempunyai hak seperti orang normal lain. Dalam hal ini, orang yang normal boleh membantu dengan tidak menggunakan kemudahan yang disediakan supaya OKU juga dapat menyumbang kepada masyarakat," katanya.

 

sumber: https://www.hmetro.com.my/akademia/2024/01/1048194/manisnya-kecekalan

Tarikh Input: 08/01/2024 | Kemaskini: 08/01/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEcLAD~