Oleh: Khairul Ziana Kinainah
Dalam era digital yang semakin pesat, usaha memartabatkan seni dan kebudayaan dalam kalangan generasi muda menjadi satu cabaran yang signifikan. Namun begitu, mahasiswa di institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) terus membuktikan bahawa warisan budaya bangsa tidak akan pernah dilupakan, malah terus disuburkan melalui pelbagai inisiatif kreatif dan berimpak.
Salah satu pendekatan yang dilihat semakin mendapat tempat ialah penganjuran program seni dan budaya oleh mahasiswa sendiri, seperti teater kampus, pertandingan deklamasi puisi, bengkel tarian tradisional, dan persembahan muzik etnik. Program-program ini bukan sahaja menjadi medan ekspresi, malah menjadi ruang pembelajaran yang hidup buat para pelajar untuk memahami nilai, simbol dan identiti budaya tempatan.
Selain persembahan, mahasiswa juga boleh bergiat dalam projek pemuliharaan dan dokumentasi warisan budaya. Contohnya, melalui tugasan akademik, aktiviti kokurikulum berkredit, kerja/aktiviti lapangan, mengadakan sesi temu bual dengan penggiat seni veteran, penghasilan video dokumentari pendek, dan mengumpul data mengenai amalan budaya warisan yang kian pupus.
Di kampus UPM misalnya, Astaka Seni menjadi ruang utama yang menghubungkan seni tradisi dengan generasi baru. Projek gotong-royong seperti mengecat dan menghias kawasan tersebut menggambarkan semangat pelajar dalam memelihara ruang seni sebagai simbol kolektif kampus yang mencintai budaya.
Lebih menarik, mahasiswa juga boleh memanfaatkan media sosial untuk memperluas jaringan seni budaya – daripada TikTok hingga ke YouTube – dengan menghasilkan konten budaya seperti flashmob, tutorial tarian zapin, sketsa berbahasa Melayu klasik, dan pantun kreatif digital. Ini membuktikan bahawa seni tradisional tidak perlu kekal "klasik" – ia boleh segar dan relevan dengan sentuhan moden.
Kesimpulannya, mahasiswa bukan sekadar pewaris budaya – mereka kini adalah pemangkin dan penggerak warisan bangsa. Usaha yang berterusan dalam memupuk kecintaan terhadap seni budaya harus diperkasa, disokong dan diraikan, agar warisan ini terus mekar dalam jiwa generasi mendatang.
Tarikh Input: 25/04/2025 | Kemaskini: 26/05/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan