Lahir Mahasiswa Kalis Rempuhan Globalisasi | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Lahir mahasiswa kalis rempuhan globalisasi

Lahir mahasiswa kalis rempuhan globalisasi

 

KETIDAKTENTUAN ekonomi, rempuhan globalisasi, persaingan mutakhir dan wabak pandemik menuntut pemimpin-pemimpin institusi pengajian tinggi (IPT) negara lebih proaktif dan mengukur semula pelan pembangunan mahasiswa yang ampuh, holistik dan relevan.

Berteraskan matlamat pendidikan negara Melahirkan Graduan Bitara Yang Holistik, Ihsan, Patriotisme dan Berdaya Tahan, program pemerkasaan mahasiswa secara holistik akan melahirkan graduan tahan lasak dan kalis rempuhan cabaran globalisasi.

Seruan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perutusan tahun baharunya baru-baru ini adalah untuk membentuk mahasiswa dengan kemahiran pintar dan tajam serta bukan lagi kemahiran insaniah (KI) dan amali, bertujuan melengkapi mahasiswa dengan kemampuan mengurus pasukan dan menganalisis data untuk penyelesaian masalah.

Sudah tentulah dalam pemerkasaan mahasiswa holistik yang kalis rempuhan globalisasi dan persaingan mutakhir, universiti harus membangunkan instrumen dan mengukur program pembangunan karakter yang lebih komprehensif kepada KI terutama pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan, keusahawanan, etika moral dan profesional serta kemahiran kepimpinan.

Walaupun KI telah mula diterapkan oleh universiti-universiti hampir sedekad lalu, penguasaan KI perlu diperkukuhkan dengan domain kognitif, afektif, psikomotor dan tujuh sifat lain iaitu kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran keusahawanan, etika dan nilai profesional serta kemahiran kepimpinan.

Instrumen untuk mengukur KI di universiti inilah yang merupakan kemahiran pintar untuk melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing, mahasiswa berpersonaliti unggul, berfikiran kritis dan ber­fikir secara tuntas.

Pembentukan kemahiran tajam mahasiswa dengan menganalisis data melalui aplikasi secara berkesan, kritis dan analitikal dari cerakinan pelbagai sumber maklumat bagi menyelesaikan masalah juga mampu mengenal pasti kemahiran baharu untuk mahasiswa yang sedang dan akan berkembang serta bakal terpinggir.

Selain itu, pengurusan aktiviti dan pembangunan pelajar perlu menilai semula pendekatan realistik dengan menyediakan autonomi pelajar yang lebih meluas dan berkesan, sekali gus meningkatkan inisiatif pemerkasaan pelajar yang memanusiakan manusia.

Mohamed Khaled dalam perutusannya menyeru universiti agar memberi lebih banyak kebebasan dan mandat bersesuaian kepada mahasiswa dan kesatuan pelajar untuk memperjuangkan agenda mahasiswa, membuka perniagaan dan menguruskan kewangan persatuan.

Tegurannya bahawa universiti harus menjual kepakaran besar melalui projek rundingan dan bukannya terlibat dalam perniagaan kecil yang layak diserahkan kepada mahasiswa adalah satu sinikal realiti ekosistem pengajian tinggi.

Autonomi mahasiswa akan meningkatkan kematangan mereka, memupuk nilai integriti dan tanggungjawab, meningkatkan inovasi sekali gus mengukuhkan kompetensi kepimpinan yang bakal menjadi aset kepimpinan politik dan ekonomi negara.

Menteri juga menggesa bakat pemimpin pelapis dikenal pasti dalam ekosistem universiti. Dari lingkup mahasiswa, universiti perlu meningkatkan pendedahan dan kesedaran kepada mahasiswa terhadap sistem demokrasi dan ekosistem politik yang matang.

Mengambil contoh di Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak autonomi diberikan pada 2020, pilihan raya mahasiswa diuruskan sepenuhnya oleh pelajar tanpa campur tangan universiti.

Sebagai menyambut baik cadangan menteri, pada tahun ini UPM akan memberikan secara berperingkat autonomi pengurusan kewangan aktiviti pelajar kepada persatuan pelajar. – UTUSAN

PROFESOR DR. ARIFIN ABDU, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tarikh Input: 22/02/2023 | Kemaskini: 22/02/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdWAq~