Penulis : Marlinah Muslim
Jika dahulunya semasa alam persekolahan, terdapat sekolah pendidikan khas dan pendidikan khas integrasi yang memberi pendidikan khusus untuk pelajar-pelajar OKU tertentu namun setelah bergraduat, pelajar OKU perlu bersaing dengan graduan yang lain untuk mencapai pelbagai matlamat dalam pelbagai aspek pekerjaan.
Menurut data terkini, negara mencatatkan 5.74 juta graduan pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 4.2% berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 67.9% graduan pendidikan tinggi berjaya mendapat pekerjaan, 16.6% melanjutkan pengajian, manakala 5.5% menganggur.
Sehingga 31 Januari 2023, terdapat 637,537 OKU yang berdaftar di Malaysia, mewakili kira-kira 1.9% daripada populasi. Walaupun terdapat dasar kerajaan yang bertujuan untuk memperuntukkan 1% pekerjaan sektor awam untuk OKU, angka pekerjaan sebenar masih rendah. Menurut kajian terkini, terdapat kira-kira 4,500 OKU yang bekerja di sektor awam dan swasta namun masih kurang daripada 1% daripada OKU yang berdaftar.
Di Universiti Putra Malaysia, kadar kebolehpasaran graduan terkini UPM adalah pada 99.4% lebih tinggi dari purata kadar kebolehpasaran graduan UA di Malaysia keseluruhannya iaitu pada 92.8%, manakala graduan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) mencatat kadar 85.5%. Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, kadar kebolehpasaran graduan OKU adalah sebanyak 83.3% di mana peratusan adalah sedikit rendah berbanding peratusan kebolehpasaran graduan terkini.
Faktor kekurangan pengambilan pekerja OKU mungkin dipengaruhi lebih atau kurang dari sembilan faktor cabaran seperti diskriminasi, stigma, kebolehcapaian infrastruktur atau fasiliti, tahap pendidikan dan kemahiran, dasar atau polisi yang lemah, peluang pekerjaan terhad, fleksibiliti dan aksesibiliti terhad di tempat kerja bakal majikan, majikan yang kurang kesedaran tentang OKU, masalah pengangkutan serta faktor psikologi.
Contohnya dalam cabaran stigma dan kesedaran majikan, sesetengah majikan mungkin mempunyai prasangka, menganggap OKU mempunyai kecekapan kerja yang rendah dan memerlukan penjagaan khas atau peralatan khusus, yang menyebabkan mereka enggan mengambil OKU bekerja. Namun cabaran ini sebenarnya sedang diatasi di seluruh dunia dengan pengenalan inklusiviti sosial di dalam Matlamat Pembangunan Mampan. Di peringkat kebangsaan pula, organisasi seperti PERKESO banyak mengambil inisiatif membantu majikan dan bakal pekerja OKU seperti menyediakan latihan mengenai keupayaan OKU dan program kesedaran bersama majikan-majikan.
Akses terhad kepada pendidikan berkualiti atau program latihan vokasional untuk OKU juga antara penyebab mereka tidak diambil bekerja namun negara kini juga sedang meningkatkan keupayaan OKU di dalam pelbagai kemahiran seperti melaksana inisiatif Majlis TVET negara yang telah memastikan aksesibiliti dan inklusiviti OKU dalam program latihan kemahiran termasuk mewujudkan Institusi TVET Inklusif di Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat GiatMARA.
Pada masa kini, cabaran dan jurang pekerjaan kepada OKU semakin dikurangkan dengan pelbagai inisiatif negara contohnya sebagaimana yang diumumkan YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) baru-baru ini, seperti Pinjaman bersaiz mikro sehingga 3.2 bilion ringgit, antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), pemberian insentif kepada majikan sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO jika mengambil OKU bekerja, penetapan syarat kelayakan gaji bagi menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU akan ditingkatkan kepada 1,700 ringgit ketimbang 1,500 ringgit, kemudahan pembiayaan melalui Skim Sinar BSN disediakan dengan dana 50 juta ringgit untuk OKU ceburi bidang perniagaan dan pemerkasaan sistem penyampaian awam inklusif untuk memenuhi keperluan pemanggil OKU, seperti menyediakan kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat. Justeru, graduan OKU sendiri perlulah merebut peluang dengan memperkasa diri dengan pelbagai kemahiran yang bersesuaian agar tidak ketinggalan dalam perkembangan arus perdana.
Graduan OKU adalah mereka yang masuk ke institusi pengajian tinggi dengan kelayakan akademik dengan bantuan yang mungkin lebih minimal berbanding semasa zaman persekolahan dahulu. Oleh sebab itu, adalah tidak mustahil untuk mereka menjadi individu yang lebih berjaya berbanding dengan yang lain. Semangat cekal dan tidak takut berdepan dengan cabaran adalah kunci mendapat pekerjaan seterusnya berjaya mencapai cita-cita mereka.

Gambar: Program Kerjaya OKU telah diadakan pada 18 Disember 2024 yang lepas bersama PERKESO dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM untuk memberikan bakal graduan pengetahuan mengenai cara membuat resume berkesan, berpakaian sesuai serta kaedah menjawab ketika ditemuduga termasuk ketika menerima panggilan temuduga
Tarikh Input: 27/02/2025 | Kemaskini: 27/02/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan