ILMU DAN ADAB: ASAS KECEMERLANGAN MAHASISWA | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » ILMU DAN ADAB: ASAS KECEMERLANGAN MAHASISWA

ILMU DAN ADAB: ASAS KECEMERLANGAN MAHASISWA

Oleh: Dr Aiza Shaliha Jamaluddin

Dalam dunia pendidikan tinggi, mahasiswa sering berlumba-lumba menguasai ilmu sebagai persediaan menghadapi cabaran kerjaya. Namun, timbul persoalan yang wajar difikirkan: adakah penguasaan ilmu patut diutamakan sebelum adab, atau adab yang harus mendahului ilmu? Kedua-duanya amat penting, tetapi adab menjadi asas yang memastikan ilmu dimanfaatkan secara beretika dan berintegriti.

Bagi mahasiswa, adab bukan sekadar berkelakuan sopan, tetapi meliputi rasa hormat terhadap pensyarah, rakan sekuliah, staf universiti, serta mematuhi peraturan kampus. Tanpa adab, pencapaian akademik yang cemerlang mungkin hilang nilainya jika sikap dan tingkah laku tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Imam Malik, mempelajari adab adalah keutamaan kerana ia membimbing kita mengamalkan ilmu dengan bijaksana.

Ilmu pula menjadi bekal untuk mahasiswa memahami bidang pengajian, menyelesaikan cabaran akademik, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Namun, ilmu tanpa adab ibarat teknologi tanpa kawalan berpotensi digunakan untuk tujuan yang salah. Banyak kegagalan dan konflik dalam sejarah berpunca daripada keruntuhan akhlak, bukannya kekurangan ilmu.

Di universiti, pensyarah bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga pembimbing yang membantu membentuk karakter mahasiswa. Adab yang baik mewujudkan suasana pembelajaran yang positif, sekali gus memudahkan penguasaan ilmu.

Kesimpulannya, adab wajar didahulukan kerana ia menjadi panduan untuk menggunakan ilmu secara bertanggungjawab. Adab dan ilmu perlu bergerak seiring, namun tanpa adab, ilmu berisiko menjadi sia-sia. Seperti kata pepatah, “Ilmu tanpa adab umpama pohon tidak berbuah.”

Tarikh Input: 22/08/2025 | Kemaskini: 22/08/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
F, (11:29:59pm-11:34:59pm, 05 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]