HUKUMAN TATATERTIB PELAJAR: HUKUMAN ATAU PENGAJARAN? | Bahagian Hal Ehwal Pelajar hep
» ARTIKEL » HUKUMAN TATATERTIB PELAJAR: HUKUMAN ATAU PENGAJARAN?

HUKUMAN TATATERTIB PELAJAR: HUKUMAN ATAU PENGAJARAN?

Penulis: Wan Fatin Fashilin Binti Wan Adeli

Hukuman tatatertib adalah salah satu cara untuk memastikan pelajar mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan oleh pihak universiti. Namun, selain daripada tindakan punitif, hukuman tatatertib juga seharusnya dilihat sebagai satu bentuk pengajaran yang bertujuan untuk membentuk pelajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekiranya pelajar didapati bersalah dalam tindakan tatatertib, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar boleh mengenakan pelajar mana-mana satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai di bawah Kaedah 58(1) dan (2) Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Putra Malaysia) (Tatatertib Pelajar) 2024. Antara hukuman yang dikenakan adalah amaran, melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat, denda sebanyak tidak melebihi RM500, larangan berada dalam kawasan kampus, dibuang atau dilarang untuk tinggal di asrama, digantung daripada peperiksaan, digantung semester pengajian dan dibuang daripada Universiti.

Secara amnya, tujuan hukuman tatatertib adalah untuk mengekalkan disiplin supaya membantu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang kondusif dan teratur. Seterusnya, hukuman yang sesuai dapat membantu pelajar memahami akibat daripada tindakan mereka dan membentuk sahsiah yang bertanggungjawab dan yang terakhir dapat mencegah salah laku agar dapat menjadi pengajaran kepada pelajar lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Dalam konteks pengajaran, hukuman tatatertib seharusnya bersifat konstruktif. Hukuman perlu dirancang dengan teliti agar dapat memberikan pengajaran kepada pelajar. Contohnya dengan perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat. Seterusnya, hukuman perlu dikenakan secara adil dan konsisten, tanpa pilih kasih. Selain itu, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar perlu memahami latar belakang dan keadaan pelajar sebelum mengenakan hukuman. Akhirnya, pelajar perlu diberi peluang untuk memperbaiki kesalahan mereka dan belajar daripada pengalaman tersebut.

Kesimpulannya, hukuman tatatertib bukan hanya untuk menghukum, tetapi lebih kepada mendidik dan membimbing pelajar agar menjadi individu yang bertanggungjawab dan berdisiplin. Pendekatan ini penting dalam membentuk pelajar yang matang dan bersedia menghadapi cabaran di masa depan

Tarikh Input: 30/03/2025 | Kemaskini: 30/03/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (08:59:54am-09:04:54am, 01 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]