Hayati Konsep Kenegaraan Lebih Mendalam | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Hayati konsep kenegaraan lebih mendalam

Hayati konsep kenegaraan lebih mendalam

 

BICARA mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Mengenai Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan sekadar menimbulkan perbahasan perundangan. Tanpa sedar, perbahasan itu menonjolkan tahap kefahaman warga Malaysia terhadap konsep negara dan ketatanegaraan Malaysia, secara jiwa dan raganya.

Pada pengamatan saya ada segelintir tidak mahu menerima dan memahami isi jantung negara ini, yakni tidak menghayati jiwa pada negara ini dan hanya menumpukan kepada raganya sahaja. Ramai yang menyeru supaya semua pihak, baik pemain politik, aktivis masyarakat dan tidak ketinggalan akademia untuk merujuk dan menghormati Perlembagaan dan konsep kenegaraan Malaysia.

Namun, persoalan besar menerjah fikiran saya ialah, apakah sebenarnya kefahaman mengenai Perlembagaan dan konsep kenegaraan Malaysia. Apakah undang-undang Perlembagaan dan apakah konsep kenegaraan Malaysia?

Adakah kefahaman semua pihak mengenai dua perkara utama dalam pembentukan dan pembinaan itu sama dan serupa serta mendalam? Adakah pihak yang menyeru kita merujuk kepada Perlembagaan itu menerima identiti Perlembagaan dan hala tuju negara, sedangkan pada masa sama mempersoalkan identiti nasional negara.

Mereka dalam bidang undang-undang sering melihat pembentukan dan pembinaan negara ini semata-mata dari kaca mata undang-undang. Maka timbullah kenyataan seperti ‘ketuanan Melayu’ tidak disebut dalam Perlembagaan. Kenyataan begini menunjukkan bagaimana terhadnya penghayatan terhadap konsep kenegaraan Malaysia.

Pendekatan simplistik seperti melihat kepada pengunaan istilah seperti ‘ketuanan Melayu’ secara harfiah dalam Perlembagaan amat mengecewakan. 

Perlu saya tegaskan bahawa istilah yang sering dilaungkan oleh banyak pihak, seperti demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan rule of law (kedaulatan undang-undang) juga tidak disebut secara har-fiah atau secara literal dalam Perlembagaan.

Istilah ini begitu popular digunakan oleh peguam yang mempersoalkan ‘ketuanan Melayu’ dalam Perlembagaan Persekutuan. Penerimaan dan pemakaian konvensyen; Constitutionalism (Faham Perlembagaan) dan democratic way of life juga tiada dalam Perlembagaan secara harfiah. Semua yang tidak disebut dalam Perlembagaan secara harfiah ini adalah konsep yang amat diperlukan bagi pembinaan negara bangsa Malaysia.

Prinsip Raja Berperlembagaan

Sistem demokrasi berparlimen di negara kita diterima kerana ciri-cirinya seperti adanya sistem pilihan raya dan wujudnya institusi Parlimen sebagai simbol kepada demokrasi. Begitu juga dengan Raja Berperlembagaan yang difahami dengan ciri-cirinya, seperti raja-raja hendaklah bertindak atas nasihat.

Frasa rule of law yang mutakhir ini menjadi ikrar, juga tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Frasa rule of law telah diadakan dalam deraf pertama Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Perlembagaan (yang lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid), tetapi ia telah digugurkan ketika proses memuktamadkan pengisian Perlembagaan.

Walaupun tiada dalam hitam putih atau secara ekspres dalam peruntukan Perlembagaan prinsip rule of law tetap menjadi junjungan kita seperti sesuai bagi negara kita. Buktinya, bagi menjamin rule of law, Perlembagaan memaktubkan peruntukan berkaitan kebebasan asasi dan Perlembagaan juga mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjamin kekebasan kehakiman – dua elemen penting rule of law. Berkaitan, Perlembagaan juga menjamin pengasingan kuasa dalam skima Westminster sebagai manifestasi kepada konsep constitutionalism atau faham Perlembagaan.

Jelasnya, dalam memahami Perlembagaan Persekutuan, perkara yang tidak bertulis dalam Perlembagaan Persekutuan boleh diambil perhatian sebagai undang-undang Perlembagaan. Untuk membolehkan kita memahami sistem pentadbiran dan ketatanegaraan Malaysia, kita juga hendaklah dapat membezakan antara Perlembagaan dan undang-undang Perlembagaan.

Perlembagaan merujuk kepada apa yang tertera dalam sebuah Pelembagaan bertulis, manakala undang-undang Perlembagaan merujuk kepada perkara yang bertulis dalam Perlembagaan dan pada masa sama, ia mengandungi perkara yang tidak bertulis, seperti undang-undang adat Perlembagaan yang dikenali sebagai constitutional convention.

Sebagai contoh, Perlembagaan Persekutuan menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen dalam Perkara 40(2)(b), tetapi Perlembagaan tidak menyebut siapakah yang berhak membuat permintaan tersebut. Adakah semua orang berhak membuat permintaan? Sudah tentu tidak semua orang berhak membuat permintaan tersebut. Oleh itu, dalam amalan atau adat perlembagaan di negara kita, permintaan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri.

Adakah kerana tiadanya istilah tersebut dalam hitam putih peruntukan Perlembagaan, maka ia dikatakan sebagai tiada. Pendekatan ini amat simplistik dan adalah salah.

Perlembagaan serasi sejarah

Perlembagaan sesebuah negara amat bergantung kepada keadaan atau sosiologi, termasuk imaginsasi sosial masyarakat. Bahkan Perlembagaan berkait rapat dengan disiplin antropologi, termasuklah antroplogi organisasi dan budaya masyarakat.

Justeru, Perlembagaan juga mesti serasi dengan sejarah serta perkembangan politik negara. Oleh itu, pendekatan sejarah juga perlu diberikan perhatian sewajarnya dalam memahami Perlembagaan. Adalah tidak adil bagi Perlembagaan dan masyarakat setempat sekiranya Perlembagaan dibaca dengan bacaan terhad, yang hanya merujuk kepada hitam putih peruntukannya.

Sebuah Perlembagaan dibuat dan digubal bukan semata-mata sebagai undang-undang yang hanya dibaca dalam konotasi terhad atau rigid. Membaca Perlembagaan secara literal akan menyebabkan Perlembagaan menjadi kaku dan tidak bernyawa, sedangkan nyawa Perlembagaan terbenam dalam tanah air bersandarkan kepada sosiologi, sejarah dan politik negara. Perlembagaan bukan suatu yang jatuh dari langit, tetapi bercambah dari bumi tanah air ini.

Perlembagaan juga tidak boleh dianggap hanya semata-mata undang-undang tertinggi. Pendekatan ini akan menjadikan perlembagaan sebagai rujukan dalam pentadbiran perundangan semata-mata. Ia akan menggagalkan Perlembagaan sebagai dokumen utama penentu kepada pembinaan ketatanegaraan Malaysia dan sebuah dokumen menyeleggara cara hidup bernegara.

Taati Perlembagaan

Justeru, setiap gerak kerja individu ahli masyarakat, pemimpin masyarakat dan kerajaan serta agensinya hendaklah mentaati undang-undang Perlembagaan, sama ada yang bertulis dan yang tidak tidak bertulis.

Walaupun peruntukan tidak bertulis Perlembagaan tidak mengikat mahkamah, tetapi ia adalah rujukan yang boleh membantu mahkamah untuk mencapai suatu tahap keyakinan atau persuasive.

Peguam lulusan luar negara yang tidak mempelajari Perlembagaan Persekutuan secara formal hendaklah diwajibkan lulus subjek Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan di peringkat (Certificate in Legal Practice) CLP atau Common Bar Examination. Sehingga kini subjek Perlembagaan Persekutuan hanya sebahagian daripada kertas am dalam CLP.

Ahli sosiologi pula harus tampil bagi menjelaskan secara intelektual serta membahaskan teori yang telah mereka bina untuk pembinaan negara dan kenegaraan Malaysia. Memberi faham kepada masayrakat mengenai identiti nasional yang menghormati sejarah, meraikan perpaduan dan menjamin kelangsungan ciri-ciri tradisi dan watan.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

Tarikh Input: 24/10/2023 | Kemaskini: 24/10/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEcWAz~