DARI PENGALAMAN HIDUP KE PENTAS KECEMERLANGAN MAHASISWA | Bahagian Hal Ehwal Pelajar 127
» ARTIKEL » DARI PENGALAMAN HIDUP KE PENTAS KECEMERLANGAN MAHASISWA

DARI PENGALAMAN HIDUP KE PENTAS KECEMERLANGAN MAHASISWA

 

 

 

Oleh: Nureedayu Zapuri 

Perjalanan seorang mahasiswa tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, malah turut dinilai melalui keupayaan memanfaatkan ilmu, pengalaman dan peluang yang dimiliki demi kesejahteraan masyarakat. Berpegang kepada prinsip tersebut, pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Lailatul Akmal Awiss Juharin, membuktikan bahawa cabaran hidup mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan apabila beliau dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tokoh Siswa 2026 pada Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM baru-baru ini.

Pengiktirafan berprestij itu merupakan anugerah tertinggi universiti kepada mahasiswa yang menyerlah dalam pelbagai aspek termasuk kepimpinan, akademik, kokurikulum, keusahawanan, sahsiah serta sumbangan kepada universiti dan masyarakat. Kejayaan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen beliau dalam memperkasakan komuniti mahasiswa melalui pelbagai inisiatif yang memberi impak positif.

Menurut Lailatul Akmal, beliau tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut kerana percaya masih ramai mahasiswa lain yang turut menyumbang kepada masyarakat. Katanya, anugerah itu bukan sekadar penghargaan kepada dirinya, tetapi juga buat keluarga, pensyarah, pihak universiti, rakan-rakan dan seluruh pasukan Warung Yamal yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan beliau.

Lebih bermakna, pengalaman sebagai penerima bantuan asnaf ketika bergelar mahasiswa telah menjadi titik perubahan dalam hidupnya. Pengalaman itu menyemai semangat untuk kembali menyumbang kepada komuniti melalui penubuhan Warung Yamal, sebuah inisiatif keusahawanan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa serta melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan. Atas usaha tersebut, beliau turut menerima Anugerah Usahawan Putra sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya dalam bidang keusahawanan.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berharap para penerima Anugerah Naib Canselor terus menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain dengan mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan perlu disertai dengan nilai integriti, adab serta kesediaan menerima teguran, selaras dengan pepatah Melayu, "resam padi, semakin berisi semakin tunduk."

Majlis ANC UPM 2026 turut mencatat sejarah apabila memperkenalkan Anugerah Jiwa Putra buat julung kalinya, selain mengiktiraf mahasiswa daripada pelbagai latar belakang menerusi Anugerah Inklusif Putra, sekali gus mencerminkan komitmen UPM dalam melahirkan graduan holistik, berintegriti dan berjiwa masyarakat. Kisah kejayaan Lailatul Akmal membuktikan bahawa setiap cabaran mampu menjadi asas kepada kecemerlangan, manakala kejayaan sebenar ialah apabila seseorang mampu mengangkat orang lain bersama-sama menuju masa depan yang lebih baik.

Tarikh Input: 31/07/2026 | Kemaskini: 05/08/2026 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (11:00:20am-11:05:20am, 08 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]