CABARAN AUTONOMI MAHASISWA URUSKAN PILIHAN RAYA KAMPUS | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » CABARAN AUTONOMI MAHASISWA URUSKAN PILIHAN RAYA KAMPUS

CABARAN AUTONOMI MAHASISWA URUSKAN PILIHAN RAYA KAMPUS

Oleh Prof. Dr. Arifin Abdu

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM

 

 

Dalam tempoh beberapa bulan ini, kita menyaksikan 16 buah universiti awam (UA) telah melaksanakan Pilihan Raya Kampus (PRK) dengan berbaki empat UA dalam masa terdekat.

 

PRK merupakan refleksi arah tuju ekosistem politik negara pada masa akan datang dan melatih kematangan mahasiswa memahami demokrasi.

 

Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam agenda pemerkasaan mahasiswa, universiti awam (UA) yang telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) untuk meminda proses gerak kerja PRK atau lebih dikenali sebagai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP).

 

JPMPP ialah organisasi pelajar yang diberi kebebasan untuk  bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan keseluruhan proses PMPP berbanding sebelumnya diuruskan oleh pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga berlaku tohmahan campur tangan tidak telus oleh pegawai sejak sekian lama.

 

JPMPP ialah signifikan ruang  mahasiswa untuk terlibat dalam membentuk sebuah organisasi wakil pelajar tertinggi di peringkat universiti iaitu Majlis Perwakilan Pelajar.

 

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 menyebut bagi tujuan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), JPMPP perlu ditubuhkan merangkumi penasihat, induk, pelaksana, rayuan dan audit. Jawatankuasa ini hendaklah mengadakan pemilihan MPP mengikut kawasan umum dan fakulti.

 

Ahli-ahli di dalam jawatankuasa ini juga perlulah sentiasa menunjukkan sikap berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana calon untuk mengelak unsur ketidakadilan dalam perjalanan proses pemilihan MPP.

 

Justeru, mahasiswa jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan tentang pengurusan dan program penting universiti yang banyak memberi manfaat dan pengalaman berharga semasa anda masih di menara gading ini.

 

Walau bagaimanapun, sejauh manakah keberkesanan autonomi menguruskan PRK oleh JPMPP ini dari sudut sambutan mahasiswa menunaikan tanggungjawab mengundi.

 

Dianggarkan antara 60 ke 70 peratus pelajar pra-siswazah yang membentuk majoriti pelajar kampus mengundi setiapkali PRK dan peratus ini lebih rendah dalam kalangan pelajar pasca-siswazah yang kebanyakannya ialah pelajar luar negara.

 

Salah satu inisiatif yang perlu dilaksanakan ialah sesi libat urus bersama pemegang taruh PRK bagi mendapatkan maklum balas penambah baikan PRK tahun sebelumnya rakyat pelajar lebih tertarik terhadap suasana politik kampus yang berlangsung.

 

Inisiatif utama lain untuk meningkatkan peratus pelajar mengundi ialah tanggung jawab memperkasakan sosialisasi politik oleh pelajar kepada pelajar.

 

Badan pelajar seperti MPP, Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Majlis Perwakilan  Kolej boleh mengadakan pertemuan secara santai dan kerap di kawasan tumpuan pelajar dalam kampus sebaik sahaja apabila MPP baharu dibentuk.

 

Selain pertemuan, badan pelajar boleh menggunakan pelbagai pendekatan untuk mendekati rakyat pelajar melalui media sosial dan aktiviti-aktiviti mereka untuk melestarikan proses sosialisasi politik.

 

Hubungan akrab perlu diperkukuhkan antara MPP, Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Majlis Perwakilan Kolej dalam keberkesanan ini kerana kita sedar, kegagalan komunikasi antara tiga badan ini berpunca kepada sindrom ‘abang kawasan’.

 

Kebiasaan yang berlaku ialah promosi PRK kepada pelajar dibuat pada tempoh yang hampir dengan PRK dan pelajar yang hadir merupakan penyokong kuat kepada ahli-ahli yang bertanding dan bukannya rakyat pelajar.

 

Kita berharap agar kesemua JPMPP mampu menguruskan PRK dengan penuh tanggungjawab, telus, adil, lancar, matang, efisien, tidak pilih kasih dan dijauhi kontroversi agar proses PRK berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

 

Baru-baru ini seramai 95 ahli JPMPP baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima watikah pelantikan masing-masing bagi mengurus PRK UPM pada bulan Mac 2024. UPM adalah universiti pertama yang menjalankan pengundian PRK secara elektronik pada tahun 2021

 

Penglibatan pelajar memilih dan memimpin melalui pilihan raya kampus memperkukuhkan aspek demokratik dan menggilap bakat kepimpinan masa depan mereka agar lebih bertanggungjawab.

 

PRK mengasah kesedaran politik yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda dan menjadi petanda baik pelaksanaan dan pewartaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 

Salah satu mekanisma sokongan terhadap kelayakan undi 18 sebenarnya bermula daripada pilihan raya kampus kerana generasi muda ialah pelapis arah tuju negara, menyokong proses demokrasi terutama menjelang Pilihan Raya Umum seterusnya.

 

Justeru, mahasiswa yang terlibat secara langsung dalam PRK jangan sia-siakan peluang hebat ini tentang pengurusan pilihan raya yang banyak memberi manfaat dan pengalaman berharga semasa anda masih di menara gading ini.

Tarikh Input: 04/03/2024 | Kemaskini: 04/03/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEcFA7~