BULI SIBER: ANCAMAN SENYAP DI ALAM MAYA | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » BULI SIBER: ANCAMAN SENYAP DI ALAM MAYA

BULI SIBER: ANCAMAN SENYAP DI ALAM MAYA

Oleh: Wan Fatin Fashilin Binti Wan Adeli


Dunia digital hari ini telah membuka pelbagai ruang komunikasi dan interaksi sosial tanpa sempadan. Namun, dalam keghairahan menjelajah alam maya, wujud satu fenomena berbahaya yang semakin membimbangkan – buli siber. Tidak seperti buli fizikal yang berlaku di institusi pendidikan atau di tempat awam, buli siber tersembunyi di balik skrin dan boleh berlaku 24 jam tanpa henti. Ia merupakan ancaman senyap yang memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental dan emosi mangsa.

Definisi dan Bentuk Buli Siber

Buli siber merujuk kepada sebarang bentuk penghinaan, pengancaman, penyebaran aib, dan gangguan yang dilakukan melalui medium digital seperti media sosial, aplikasi pesanan segera, emel atau laman web. Antara bentuk buli siber yang sering berlaku termasuklah mesej berbaur hinaan dan kecaman di media sosial, penyebaran gambar peribadi tanpa kebenaran, fitnah atau penyebaran berita palsu, pengasingan sosial dalam talian, dan menyamar sebagai orang lain.

Kesan kepada Mangsa

Kesan buli siber adalah sangat mendalam dan boleh menjejaskan kesihatan mental serta prestasi akademik seseorang. Mangsa berdepan dengan tekanan emosi, kemurungan, keresahan dan dalam kes tertentu, mencederakan diri atau percubaan membunuh diri. Kajian menunjukkan bahawa remaja dan mahasiswa yang menjadi mangsa buli siber cenderung untuk menarik diri daripada masyarakat dan mengalami gangguan tidur serta penurunan keyakinan diri.




Buli siber bukanlah isu kecil. Ia adalah realiti pahit yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak — pelajar, pensyarah, pentadbiran universiti dan masyarakat. Sebagai komuniti akademik yang bertanggungjawab, kita wajib mewujudkan budaya komunikasi yang sihat, menyokong mangsa dan menolak segala bentuk penyalahgunaan media digital. Bersama kita wujudkan ruang maya yang selamat, beretika dan menyantuni semua.

Tarikh Input: 28/05/2025 | Kemaskini: 30/06/2025 | nureedayu

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
F, (03:21:21am-03:26:21am, 02 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]