
Penulis : Marwan Abdul Razak
Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (BHEP UPM) terus menunjukkan komitmen Tinggi dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terjaga, terutama dalam aspek pengangkutan bagi menyokong aktiviti akademik dan kokurikulum. Dalam usaha memperkukuh kemudahan sedia ada, BHEP UPM telah menerima dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena 2.0 Highway Star pada 19 Februari 2025.
Kenderaan baharu ini dilengkapi dengan sistem elektronik yang canggih, menjadikan perjalanan lebih selamat, efisien, dan selesa. Ruang dalaman yang luas dan tempat duduk yang ergonomik membolehkan pelajar menikmati perjalanan dengan lebih baik. Dengan reka bentuk tempat duduk yang selesa, pelajar boleh menggunakan masa perjalanan secara produktif, seperti menelaah nota, menyemak tugasan, atau sekadar berehat sebelum tiba ke destinasi.
Selain itu, sistem penyaman udara yang lebih baik serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan menjadikan Nissan Serena 2.0 Highway Star pilihan yang sesuai untuk kegunaan pelajar. Ini penting terutamanya bagi perjalanan jauh ke lokasi akademik seperti tapak penyelidikan, lawatan industri, mahupun program luar kampus yang memerlukan perjalanan yang panjang.
Sebelum ini, pelajar sering berdepan dengan cabaran dalam mendapatkan pengangkutan yang mencukupi, terutamanya untuk menghadiri aktiviti luar kampus yang penting bagi perkembangan akademik dan sahsiah diri. Dengan penambahan dua kenderaan baharu ini, masalah tersebut dapat dikurangkan dengan menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan yang fleksibel.
Kemudahan ini turut memberi manfaat besar kepada pelajar yang terlibat dalam aktiviti kokurikulum seperti kelab dan persatuan, atlet sukan, serta program pembangunan kepimpinan dan kesukarelawanan. Dengan akses pengangkutan yang lebih baik, pelajar dapat menyertai lebih banyak program tanpa perlu risau tentang isu logistik.
Sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan pelajar, BHEP UPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Penambahan kenderaan ini bukan sahaja menambah baik sistem pengangkutan yang sedia ada tetapi juga mencerminkan usaha berterusan UPM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Langkah ini juga selari dengan matlamat UPM untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa. Dengan penggunaan kenderaan yang lebih mesra pengguna dan efisien, BHEP dapat mengurus sumber dengan lebih baik serta mengoptimumkan penggunaan kenderaan untuk pelbagai keperluan pelajar.
Inisiatif ini mencerminkan semangat “True North” UPM, iaitu sentiasa bergerak ke hadapan dalam memberi perkhidmatan melangkaui jangkaan kepada komuniti kampus. Dengan keprihatinan terhadap keperluan pelajar, BHEP UPM terus mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan mahasiswa.
Keseluruhannya, penambahan dua kenderaan baharu ini bukan sekadar meningkatkan akses kepada pengangkutan yang lebih baik, tetapi juga memberi impak positif kepada pengalaman pembelajaran pelajar secara keseluruhan. Dengan mobiliti yang lebih lancar dan selesa, pelajar kini dapat lebih fokus kepada pencapaian akademik serta pembangunan diri, selaras dengan misi UPM dalam melahirkan graduan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.
Tarikh Input: 28/02/2025 | Kemaskini: 28/05/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan