Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kerajaan Perpaduan? | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan?

Apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan?

PEMBENTUKAN kerajaan perpaduan bertujuan menstabilkan politik demi kesejahteraan negara. - GAMBAR HIASAN

 

 

KEBUNTUAN politik yang melanda negara selama hampir seminggu ini meresahkan, namun ia boleh menjadi ruang belajar yang besar buat mereka yang berminat dengan bidang politik atau demokrasi.

Kita sudah dengar banyak istilah diucapkan sepanjang beberapa hari ini. Dari Parlimen tergantung, majoriti mudah sehingga akuan bersumpah (SD), istilah-istilah ini penting untuk memahami kemelut politik negara pasca-PRU15.

 

Maksud kerajaan perpaduan

Kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik yang berseteru sebelumnya.

Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan pembentukan kerajaan perpaduan. Ini termasuk keadaan darurat akibat peperangan, bencana alam atau krisis ekonomi; parti yang memerintah tidak mempunyai sokongan majoriti dan keperluan untuk menangguhkan pilihan raya.

Dalam kerajaan perpaduan, dua atau lebih parti yang tidak sehaluan akan membentuk kerjasama dan menganggotai kerajaan secara bersama. 

 

Contoh kerajaan perpaduan di seluruh dunia 

  • Greece

Pada November 2011, Lucas Papademos, seorang pakar ekonomi dilantik sebagai Perdana Menteri Greece bagi mengeluarkan negara itu dari krisis ekonomi. Antara syarat yang diletakkan Papademos ialah pembentukan kerajaan yang terdiri daripada pemimpin kedua-dua parti politik utama Greece, iaitu New Democracy dan Panhellenic Socialist Movement (PASOK).

  • Afghanistan

Pilihan raya Presiden Afghanistan pada 2014 berhadapan kebuntuan apabila dakwaan penipuan menyelubungi kemenangan Ashraf Ghani ke atas Abdullah Abdullah. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang akhirnya dipersetujui kedua-dua calon. Asyraf dilantik sebagai Presiden manakala jawatan baharu, Ketua Eksekutif diwujudkan dan diberikan kepada Abdullah.

  • Israel

Israel antara negara yang kerap menubuhkan kerajaan perpaduan. Sejak 1967, negara itu telah mempunyai 10 kerajaan perpaduan yang dibentuk. Kerajaannya ketika ini, iaitu kerajaan ke-36 atau turut dikenali sebagai Kerajaan Bennet-Lapid dikatakan sebagai kerajaan perpaduan paling rencam yang pernah ditubuhkan di Israel dengan penyertaan parti berhaluan kanan, tengah, kiri dan juga satu parti Islam.

  • Itali

Kabinet ke-67 Itali yang dikenali sebagai Kabinet Draghi ditubuhkan bagi menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan sosial akibat penularan wabak Covid-19. Kabinet itu diketuai bekas Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi selepas peletakan jawatan Giuseppe Conte. Kabinet ini disifatkan sebagai Kabinet teknokrat dengan penyertaan ramai teknokrat bebas selain pemimpin dari pelbagai parti politik berbeza haluan.

  • Kenya

Pada 2008 hingga 2013, Kenya diperintah kerajaan perpaduan kebangsaan yang disertai dua parti seteru, Gerakan Demokratik Oren (ODM) dan Parti Perpaduan Kebangsaan (PNU). Rundingan antara kedua-dua parti berlaku bagi menamatkan krisis politik akibat Pilihan Raya Presiden pada 2007.

Kerajaan perpaduan di Malaysia

Ini bukanlah kali pertama isu kerajaan perpaduan dibangkitkan di Malaysia. Pada 2009, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR).

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan adalah bermodelkan kerajaan perpaduan Indonesia semasa pentadbiran Presiden B.J. Habibie. 

Tarikh Input: 28/06/2023 | Kemaskini: 28/06/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEcOA4~