Oleh: Wan Fatin Fashilin binti Wan Adeli
Di universiti, tatatertib memainkan peranan penting dalam memastikan suasana pembelajaran kekal harmoni dan berdisiplin. Bagi pelajar yang melanggar peraturan, mereka akan berdepan dengan satu proses siasatan dan pendengaran yang dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa rasmi dilantik oleh Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.
Secara umumnya, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar adalah sebuah jawatankuasa untuk mendengar, menilai dan memutuskan tindakan terhadap mana-mana pelajar yang didakwa melakukan salah laku. Jawatankuasa ini berfungsi mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), serta peraturan yang ditetapkan oleh universiti. Prinsip asas dalam setiap prosiding adalah untuk memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak yang terlibat.
KENALI SIAPA YANG MENGADILI KES PELAJAR
Ahli Jawatankuasa Tatatertib Pelajar Universiti Putra Malaysia terdiri daripada beberapa individu penting yang mewakili pelbagai bahagian berkaitan pelajar dalam universiti. Pertama sekali, seorang Pengerusi akan mengetuai prosiding. Bagi salah laku akademik, Pengerusi adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) manakala bagi salah laku bukan akademik, Pengerusi adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (Pelajar siswazah) dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (Pelajar pra-siswazah) akan turut menganggotai ahli jawatankuasa bagi memberikan pandangan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang akademik dan pembangunan pelajar. Turut dilantik adalah Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman dan Pengerusi Jemaah Dekan serta Ketua Bahagian Kaunseling sebagai ahli jawatankuasa yang mengenali latar belakang dan keperluan pelajar dengan lebih mendalam. Selain itu, seorang ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang juga dilantik yang berperanan menasihati panel dari sudut perundangan. Seterusnya, seorang wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang juga dijemput hadir sebagai pemerhati untuk memastikan ketelusan, walaupun mereka tidak terlibat dalam membuat keputusan. Akhir sekali, seorang wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar juga dilantik yang bertanggungjawab terhadap dokumentasi prosiding dan urusan pengurusan tatatertib pelajar.

Pengetahuan berkenaan struktur Jawatankuasa Tatatertib Pelajar ini amat penting buat semua pelajar. Ia bukan sahaja membantu pelajar memahami hak dan tanggungjawab mereka, malah membolehkan mereka menghadapi sebarang prosiding dengan lebih tenang dan bersedia. Hakikatnya, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar tidak bertujuan untuk menghukum semata-mata, tetapi lebih kepada memastikan keadilan ditegakkan, serta membentuk pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan kampus dan seterusnya di alam pekerjaan.
Tarikh Input: 28/04/2025 | Kemaskini: 28/04/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan