Sembang Seni Budaya SEDAYA : Seni Komunikasi Dalam Bidang Pengacaraan | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Sembang Seni Budaya SEDAYA : Seni Komunikasi Dalam Bidang Pengacaraan

Sembang Seni Budaya SEDAYA : Seni Komunikasi Dalam Bidang Pengacaraan

17 Februari 2021, UPM – Sembang Seni Budaya SEDAYA ‘‘Seni Komunikasi Dalam Bidang Pengacaraan’’ merupakan program yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Program ini telah menampilkan individu yang tidak asing lagi dalam dunia pengacaraan iaitu En. Mior Abdul Malek Raiyani, Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita TV3. Program yang dipancarkan secara langsung melalui Cisco Webex bermula 3 hingga 4 petang telah disertai oleh 53 orang peserta dan bersiaran secara langsung di Facebook Rasmi Universiti Putra Malaysia dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM. Perkongsian kali ini berorientasikan petua dalam bidang pengacaraan dan komunikasi secara meluas.

 

     Memetik kata-kata En. Mior, “bagi mendapatkan impak yang baik dalam dunia pengacaraan kita haruslah bijak dalam pengawalan suara dari segi teknik pernafasan, nada, sebutan dan intonasi yang jelas serta kualiti suara yang menarik bagi memancing minat pendengar’’. En. Mior turut menekankan tentang pentingnya para pemberita atau pengacara untuk mengukuhkan asas-asas dalam bidang pengacaraan di samping memperoleh kemahiran tambahan seperti ekspresi wajah, unjuran suara, isyarat tangan, hubungan mata dan sebagainya sebelum melangkah ke bidang pengacaraan.

    En. Mior juga berkongsi tentang pengetahuan asas pembacaan skrip iaitu 1 saat bersamaan 2 perkataan. Dalam perkongsian beliau, perlunya kemahiran kecekapan mata, lenggok bahasa, intonasi yang menarik dan latihan yang berterusan kerana ia mampu menambah minat pendengar untuk menonton sesuatu berita yang disiarkan. Beliau banyak memberikan tunjuk ajar kepada peserta dengan menggunakan teknik penyampaian maklumat yang berkesan dalam pengacaraan supaya sentiasa berdaya saing dan kreatif dalam melaksanakan tugas pengacaraan.

    Program ini telah berjaya mencapai objektif yang tersendiri melalui komen dan maklum balas positif daripada peserta.

“Walaupun tidak dapat menjalani program secara bersemuka namun input yang diperolehi amat berguna”.

    Menurut Encik Husalshah Rizal Hussian, Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah beliau juga mempelajari sesuatu dalam perkongsian bersama En. Mior terutamanya mengenai 5P iaitu projection, passing, pronunciation, pitching dan pose di dalam bidang pengacaraan. Rata-rata komen mengatakan perkongsian daripada Encik Mior adalah sangat menarik dan bermanfaat terutama sekali buat para mahasiswa yang bakal menjejakkan diri ke dunia pengacaraan.

Tarikh Input: 25/02/2021 | Kemaskini: 25/02/2021 | adidi

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEaQAG~