
Oleh: Nurul Farhan
PUTRAJAYA, 9 April 2025 – Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan UPM, Saudari Tan Shieh Li, telah menerima sumbangan peranti pembelajaran iaitu tablet dalam satu majlis rasmi yang diadakan sempena Program Inisiatif Pemberian Tablet Pembelajaran kepada Pelajar B40. Majlis penyerahan penyerahan tablet ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Majlis ini berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), kampus Putrajaya dan disertai oleh wakil-wakil institusi pendidikan, agensi kerajaan serta para pelajar yang layak menerima bantuan.
Program ini dianjurkan dengan objektif untuk membantu para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), khususnya golongan OKU, dalam mengakses pembelajaran secara digital dengan lebih berkesan.
Penerima, Saudari Tan Shieh Li, merupakan pelajar yang berdedikasi dan aktif walaupun menghadapi cabaran penglihatan. Sumbangan ini dijangka dapat membantu beliau mengikuti pembelajaran dengan lebih mudah dan inklusif.
Program ini juga menunjukkan komitmen pihak penganjur dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam arus pendidikan digital yang semakin berkembang pesat hari ini.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, lebih ramai pelajar B40 akan mendapat peluang pendidikan yang saksama tanpa mengira latar belakang atau kekangan fizikal.
Majlis turut diisi dengan ucapan penghargaan serta sesi penyerahan peranti secara simbolik kepada penerima yang terpilih.
Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program inklusif pada masa akan datang.
Tarikh Input: 11/04/2025 | Kemaskini: 11/04/2025 | muhammadayob

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan