Bicara Inspirasi Siri 2: OKU Berbakti Dan Berketerampilan | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Bicara Inspirasi Siri 2: OKU Berbakti Dan Berketerampilan

Bicara Inspirasi Siri 2: OKU Berbakti Dan Berketerampilan

Penulis: Marlinah Muslim

UPM SERDANG, 18 Jun 2020 - Program Bicara Inspirasi Siri 2 diteruskan secara dalam talian dengan menampilkan Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah, Penyelaras Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM dan juga pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia sebagai moderator program. Ahli-ahli panel jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang kesukarelawanan dan program-progam bakti telah dipilih untuk membincangkan topik pada siri 2.

Ulasan pertama telah dimulakan oleh Dr. Basri Husin yang juga Setiausaha, Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (Malaysian Spinal Cord Injury Advocation Association; MASAA) dimana beliau menyatakan setiap OKU ada keperluan yang berbeza dan persatuan seperti MASAA adalah kumpulan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menyokong keperluan emosi dan lain-lain keperluan lagi dan dari situ beliau banyak terlibat banyak dalam kerja berbakti kepada orang lain. Dari sudut keterampilan, Dr. Basri berpendapat ia bergantung kepada bakat individu tersebut bagaimana dia dapat menonjolkan diri disamping menasihatkan OKU agar menjaga penampilan diri.

Melalui perkongsian daripada Encik Bukryman Sabri, seorang Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia dan juga Pengerusi Sahabat Masjid UPM, beliau mula terdetik membuat program-program bakti kepada OKU apabila terdapat salah seorang pelajarnya adalah OKU tanpa beliau sedari dan pelajar berkenaan tidak mampu ke tingkat atas kelasnya. Menurut Bukryman lagi, selain aktif berbakti kepada OKU penglihatan bersama persatuan-persatuan yang lain, Sahabat Masjid yang juga berfungsi sebagai entiti kesukarelawanan dalan UPM sedang menuju ke arah mencari OKU sebagai sukarelawan untuk berbakti kepada orang lain.

Menurut Profesor Madya Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat, program bakti atau kesukarelawanan adalah suatu kerja yang seharusnya ikhlas tanpa mengharapkan balasan bagi mengurangkan beban orang lain. Beliau yang banyak terlibat dengan kerja kesukarelawanan dan kempen kesedaran mengenai OKU adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Pendidikan juga merupakan Pengarah Urusan VACCET Sdn Bhd., ahli lembaga Yayasan Ihtimam Malaysia dan pengarah Global Muslim Mental Health. Dr. Wahiza berpendapat seorang OKU yang ingin membina keterampilan tidak seharusnya bersendiri dan menganjurkan agar OKU dan bukan OKU bekerjasama dalam aktiviti kesukarelawanan.

Kesimpulannya, tiada halangan untuk OKU berdikari dan mewujudkan keterampilan diri namun OKU sendiri harus menonjolkan diri dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawanan disamping mendapat sokongan secara inklusif oleh orang lain. Mewujudkan suasana inklusif OKU dapat dilaksanakan andai punya persefahaman dan bersikap cuba memahami dan mengenali antara satu sama lain.

Semoga Bicara Inspirasi Siri 2 ini membuka mata semua bahawa kita telah pun bergerak ke hadapan ke arah masyarakat yang lebih sejahtera dan adil. Bagi yang terlepas peluang untuk menonton secara Live boleh menonton ulang siar video yang telah pun mencapai tontonan lebih dari 1000 penonton di Facebook Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

https://www.facebook.com/BHEPUPM/videos/289888005706551/ 

Tarikh Input: 04/08/2020 | Kemaskini: 04/08/2020 | mshahrul

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEaPAW~