Oleh: Nureedayu Zapuri
Kesihatan mental mahasiswa semakin mendapat perhatian dalam landskap pendidikan tinggi di Malaysia. Kehidupan di kampus menuntut mahasiswa untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran seperti tekanan akademik, cabaran sosial, masalah kewangan dan tekanan harapan keluarga. Beban tugasan yang banyak, peperiksaan yang mendesak serta persaingan dalam kalangan rakan sebaya sering mengakibatkan tekanan emosi, keresahan dan kemurungan.
Kesemua ini jika tidak ditangani dengan betul akan membawa kepada kesan jangka panjang yang serius terhadap pencapaian akademik dan kesejahteraan hidup mahasiswa. Perubahan persekitaran daripada alam persekolahan yang lebih terarah kepada kehidupan universiti yang bebas dan berdikari juga menambah tekanan terhadap pelajar. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pengaruh media sosial, di mana perbandingan sosial boleh mencetuskan perasaan rendah diri dan ketidakpuasan terhadap diri sendiri. Ramai yang nampak kuat di luar, tapi sebenarnya sedang berjuang dalam diam.
Justeru, usaha bersepadu diperlukan daripada semua pihak termasuklah pentadbiran universiti, pensyarah, rakan sebaya dan keluarga untuk membina ekosistem kampus yang menyokong kesihatan mental mahasiswa. Universiti perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling yang efektif, menganjurkan program intervensi psikososial, serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar. Di samping itu, mahasiswa sendiri harus diperkasa dengan kemahiran daya tindak, pengurusan tekanan, dan sokongan emosi sesama rakan. Menurut kajian oleh Baharudin et al. (2021), intervensi kesihatan mental yang dijalankan lebih awal dalam kalangan pelajar terbukti membantu mengurangkan gejala tekanan dan meningkatkan keseimbangan emosi.
Maka, pemeliharaan kesihatan mental mahasiswa tidak boleh dianggap remeh atau tanggungjawab individu semata-mata. Ini adalah isu kolektif apabila seorang jatuh, yang lain bantu angkat. Hanya dengan kerjasama dan kesedaran bersama, sebuah kampus yang sejahtera, inklusif dan menyokong pertumbuhan holistik mahasiswa dapat direalisasikan.
Tarikh Input: 26/06/2025 | Kemaskini: 26/06/2025 | nureedayu

Universiti Putra Malaysia
Aras Bawah,
Bangunan Canselori Putra
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan