Sedekah Penyubur Ukhuwah | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Sedekah penyubur ukhuwah

Sedekah penyubur ukhuwah

 

Amalan bersedekah antara tanda kita bersyukur di atas nikmat Allah SWT. Kita baru sahaja menyambut Aidilfitri dengan meriah walaupun dalam keadaan sambutan yang serba sederhana. Ia sebagai tanda bergembira dan bersyukur atas nikmat Allah SWT yang memberikan peluang kepada kita menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Ia juga adalah bertepatan dengan firman Allah SWT: "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah, ayat 185)

Kebetulan dengan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, sekali lagi berlaku keganasan pihak Zionis terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin. Ramai yang mati syahid di samping ramai juga yang cedera parah termasuk kanak-kanak dan wanita.

Peristiwa ini mengulangi episod keganasan tentera Zionis yang saban tahun mencabuli hak penduduk Palestin dan melanggar segala peraturan dan batas kemanusiaan. Lantaran itu, ramai daripada saudara kita
di bumi Palestin yang memerlukan bantuan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita di negara yang lebih aman dan stabil ini tampil menyalurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan. Sama ada dalam bentuk bantuan perubatan, makanan, pakaian dan kewangan untuk keperluan segera mereka yang teraniaya.

 

Sedekah daripada kita antara yang akan membantu meringankan beban mereka di samping dapat menyuburkan ukhuwah sesama Muslim. Semua orang mukmin adalah bersaudara.

Allah SWT berfirman: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Berdasarkan ayat ini, jelas Allah SWT menyatakan bahawa semua orang mukmin adalah bersaudara. Manakala, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bantulah saudaramu yang zalim (mencegahnya) dan juga yang dizalimi." (Riwayat Bukhari )

Kita juga perlu membantu saudara kita yang dizalimi sekadar yang termampu. Ini kerana, Allah SWT tidak menyukai akan kezaliman atau orang yang melakukan kezaliman. Ini menunjukkan keindahan Islam yang sentiasa menganjurkan setiap daripada kita supaya menjadi insan yang bertanggungjawab kepada sesama Muslim dalam apa jua keadaan.

Allah SWT mengurniakan kepada kita nikmat yang tidak terhitung. Firman Allah SWT: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nahl, ayat 18)

Perlu juga dingat bahawa dalam harta kurniaan Allah SWT kepada kita ada hak mereka yang memerlukan. Firman Allah SWT: "Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)." (Surah Al-Zaariyaat, ayat 19)

Allah SWT menyediakan ganjaran yang sangat besar kepada mereka yang infaq (sedekah) harta mereka pada jalan Allah. Allah SWT berfirman: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Oleh itu, sebagai menyahut seruan Allah SWT sebagaimana dalam ayat-ayat di atas sama-samalah kita infaq sebahagian daripada kurniaan Allah kepada kita kepada saudara kita yang memerlukan terutama di Palestin.

Sedekah juga termasuk dalam hasanah (kebaikan) yang dijanjikan Allah SWT akan dapat menghapuskan dosa-dosa (kecil) kita. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan." (Surah Hud, ayat 114)

Pastinya ganjaran besar dijanjikan Allah SWT kepada kita. Sedekah yang kita berikan juga tidak mengurangkan harta sedia ada. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sedekah tidak sekali-kali mengurangkan harta orang yang bersedekah." (Riwayat Muslim)

Hasil daripada sedekah akan dapat dimanfaatkan oleh penerima untuk kebaikan mereka. Jika dalam keadaan kecederaan yang serius mungkin bantuan perubatan yang paling bermanfaat untuk mereka.

Dalam keadaan biasa yang kebanyakan penduduk Palestin terancam oleh kekurangan makanan dan keperluan harian yang lain, maka bantuan makanan dan pakaian lebih diperlukan. Di samping keperluan yang lebih umum ialah bantuan kewangan yang boleh digunakan secara lebih menyeluruh untuk pelbagai keperluan.

Oleh itu, sebagai menunjukkan keutuhan ukhuwah kita sesama saudara Islam, wajib kita membantu mereka sekadar yang mampu. Ia pasti mengukuhkan ukhuwah sesama umat Islam.

Banyak pihak yang memberikan komitmen mengumpulkan sedekah atau sumbangan. Pilih yang dipercayai dan berautoriti supaya sedekah dan sumbangan kita sampai kepada pihak berkenaan.

Tegasnya, amalan bersedekah yang disemaikan dengan subur dalam bulan Ramadan dahulu mesti kita teruskan. Bukan sekadar amalan yang menjanjikan pahala yang besar di sisi Allah, bahkan menyuburkan ukhuwah dengan pihak yang kita bantu terutama sesama Muslim yang memerlukan.

Dengan itu, hikmah daripada ibadat Ramadan akan berterusan menjadi amalan sepanjang masa. Allah SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Penulis pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Tarikh Input: 24/10/2023 | Kemaskini: 24/10/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SWMFEAn:04:45