Pertingkat Modul Latihan Pemimpin Pelajar Di Universiti | Student Affairs Division
» ARTICLE » Pertingkat modul latihan pemimpin pelajar di universiti

Pertingkat modul latihan pemimpin pelajar di universiti

 

UNIVERSITI awam (UA) komited melestarikan pemerkasaan dan pembangunan sahsiah organisasi pelajar melalui program di peringkat universiti, kolej kediaman, fakulti serta kelab dan persatuan.

Pembangunan sahsiah pelajar antara aspek utama petunjuk universiti yang dapat dibentuk melalui pelbagai wadah.

Iltizam kepelbagaian wadah ini dibantu barisan kepemimpinan pelajar universiti merangkumi majlis perwakilan pelajar (MPP), majlis perwakilan kolej, persatuan mahasiswa fakulti, majlis pelajar luar kampus, kelab dan persatuan.

Bagi mengelakkan organisasi dalam universiti bergerak berasingan dan bersifat persaingan, penganjuran kem kepemimpinan pelajar bersepadu perlu dianjur secara holisitik agar mereka mengutamakan semangat unversiti berbanding kolej , fakulti atau persatuan dan kelab.

Sumbangan dan pengorbanan mengetuai kepemimpinan organisasi wajar dihargai kerana sanggup mengambil risiko pembahagian masa ketat antara tuntutan belajar dengan mengetuai kepemimpinan pelajar.

Sebagai badan perwakilan pelajar, mereka akan memastikan suara pelajar didengari dalam setiap keputusan penting di universiti, selain mewakili suara golongan itu dalam pembangunan, kebudayaan, kesejahteraan dan kepentingan pelajar di universiti.

 

Pengurusan universiti dan pemimpin pelajar juga berfungsi melahirkan siswazah berdaya tahan, menginspirasikan pemikiran MADANI berteraskan kepemimpinan dan memperkasa kemahiran pemimpin.

Bagi membentuk generasi kepemimpinan pelajar berkualiti tinggi, mereka perlu merealisasikan hasrat dan aspirasi universiti dalam pemerkasaan serta sahsiah pelajar kepada seluruh rakan mereka.

Kemahiran pemantapan organisasi

Justeru, universiti melalui pengurusan entiti hal ehwal pelajar perlu membantu mempersiapkan pemimpin pelajar dengan kemahiran pemantapan organisasi agar lebih bersistematik dalam pertubuhan, pengoperasian dan tadbir urus kesatuan mahasiswa, mengukuhkan semangat kerjasama, memupuk semangat patriotisme serta perpaduan.

Malah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Majlis Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) dengan 95 pimpinan pelajar daripada 20 UA menyeru mereka menjadi pemimpin negara dan negeri masing-masing.

Zambry menekankan beberapa fokus utama dalam modul latihan kepemimpinan mahasiswa supaya bercirikan kepemimpinan, spiritual, fizikal dan intelektual.

Dalam melahirkan mahasiswa cemerlang akademik dengan sahsiah terpuji, pembentukan 'otak dan watak' kerap disebut menteri untuk melahirkan pembangunan bakat siswazah holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, seterusnya menjadi masyarakat Malaysia berkualiti.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan keyakinan dan ihsan antara enam rukun utama Malaysia MADANI dengan kedua-dua aspek itu penting dalam diri pemimpin.

UPM himpunkan pemimpin pelajar

Tidak hairanlah untuk memperkasakan kualiti kepemimpinan pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menganjurkan Kursus Pemantapan Organisasi Mega 2024 dengan menghimpunkan semua barisan kepemimpinan pelajar untuk melahirkan siswazah berdaya tahan dan mempunyai semangat pemikiran matang.

Kursus disertai 349 pemimpin pelajar di kampus Serdang dan Bintulu itu diharap memberi impak kepada pemimpin pelajar agar membawa pulang pengalaman baharu serta mempraktikkannya ketika memimpin pelajar di bawah entiti masing-masing.

Pemimpin pelajar berkenaan diharap menjadi jambatan penting dalam merealisasikan hasrat universiti memperkukuh kerangka 'True North UPM' kepada seluruh pelajar lain dan warga kampus seperti dihasratkan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Diyakini setiap universiti dan insitusi pengajian tinggi mempunyai kem latihan kepemimpinan organisasi pelajar dibuat saban tahun tetapi pengurusan hal ehwal pelajar universiti perlu menilai semula modul latihan agar sentiasa dipertingkat mengikut arus perubahan cabaran semasa pemimpin pelajar.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pengerusi Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM)

Date of Input: 05/11/2024 | Updated: 28/05/2025 | azhar.mahdzir

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
Z, (06:47:13am-06:52:13am, 02 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]